Monday, April 9, 2012

Pak Samad yang saya kenali

Berikut adalah salah satu daripada 30 tulisan dalam buku Pak Samad Di Mata Kami terbitan Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBN) sempena ulang tahun ke 77 Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Pada rembang Jumaat hari itu di depan Majlid Negara, Pak Samad, Allahyarham Hassan Ahmad bersama ribuan pejuang bahasa Melayu menyertai perhimpunan anti PPSMI, saya segera teringat novel Hujan Pagi (1987). Saya teringat kepada Lokman dalam novel itu. Kemudian saya seperti ternampak Lokman yang bukan lagi di alam bawah sedar tetapi benar-benar sedar di alam nyata di depan Masjid Negara. Rembang itu adalah kemuncak kemarahan pejuang bahasa Melayu terhadap dasar baru dalam sistem pendidikan kebangsaan yang mengembalikan bara puisi Keranda 152 karya Allahyarham Usman Awang. Hujan Pagi karya agung Pak Samad yang menyusuri alam bawah sedar Lokman yang memberontak terhadap sistem politik yang mengikat tangan dan mulut wartawan.

Di bawah langit Jumaat yang mulia itu saya melihat Lokman dalam Hujan Pagi telah bangun ke alam zahirnya. Hari itu Lokman bukan lagi menyampaikan berontak bawah sedar dan impian memaruahkan akhbar Hujan Pagi dari segala kuku besi politik. Saya melihat Lokman bersama ribuan yang lain melintas di depan saya. Pak Samad pula dulunya seorang lelaki yang banyak berdiam dan bersuara dalam puisinya sahaja. Kini beliau bersuara. Hari itu Pak Samad menzahirkan suara lantang Lokman dari Hujan Pagi.

Pak Samad tentunya sangat kecewa dengan UMNO yang tidak bersuara sepatah pun bagi mewakili orang Melayu. Maka di pentas pembangkang Pak Samad meluahkan marah yang lama terbungkam. Katanya, pilihlah apa sahaja asalkan bukan UMNO. Bukan Pak Samad sahaja yang marah, orang Melayu lain pun marah juga kecuali yang menjaga perut sendiri. Kalau diharapkan UMNO, PPSMI tentunya terus menjadi dasar pendidikan kebangsaan hingga hari ini. Kepada yang membaca Hujan Pagi dan melihat ketegasan Pak Samad menentang PPSMI, tentu sahaja teringat kepada Lokman. Kalau melihat dari teori psikoanalisis Sigmund Freud, Lokman mewakili suara jiwa Pak Samad, bukan sahaja latar wataknya seorang wartawan tetapi perjuangan menuntut kebebasan bersuara.

Semakin dalam menyelami Hujan Pagi, saya semakin kenal Pak Samad yang keras, tegas dan lantang dalam lembut yang penuh pesona. Kerana itu sejak dahulu lagi saya memilih Hujan Pagi sebagai karya agung Pak Samad. Saya tidak memilih Salina yang lebih banyak diperkatakan malah pernah diadaptasi ke pentas oleh Johan Jaaffar. Hujan Pagi membawa suara perjuangan Pak Samad yang lebih besar berbanding pengalaman peribadi melihat pergulatan sosial selepas perang yang dibanjiri perempuan kabaret dan pelacur. Tetapi saya agak malang kerana pertama kali mengenali karya Pak Samad pada tahun 1980 menerusi novel Langit Petang. Ketika itu saya seorang budak kampung, berkerja di sawah cuma lebihnya berbanding rakan-rakan sekampung ialah saya gemar membaca. Dari pembacaan itu saya bertemu dengan Langit Petang.

Semasa di sekolah saya tidak mengambil mata pelajaran sastera. Tetapi saya ada koleksi novel-novel hebat waktu itu seperti Keluarga Gerilya karya Pramoedya, Pulanglah Perantau (Aziz Jahpin), Badai Semalam (Khadijah Hashim), Tulang-Tulang Berserakan (Usman Awang), Nyawa Di Hujung Pedang (Ahmad Murad Nasaruddin), Putera Gunung Tahan (Pak Sako), Sandera (Arenawati) dan juga Langit Petang (A. Samad Said). Saya membeli novel Langit Petang selepas membaca tentang pembikinan filem Langit Petang oleh Shahrom Mohd Dom. Pelakonnya Dharma Harun al-Rashid, Azean Irdawaty dan Mahmud June. Kalau tidak silap satu adegan filem itu dibuat di Jabatan Pengarang Utusan Malaysia di Kuala Lumpur kerana Dharma yang berlakon watak Hafiz seorang wartawan sambilan.

Pertama kali membaca saya terkesan dengan lenggok bahasanya yang sangat aneh. Pembacaan saya pada awalnya kurang lancar kerana ia tidak seperti novel-novel yang saya baca sebelum ini. Selepas beberapa kali menghabisi Langit Petang, apa sahaja tentang Pak Samad menarik saya untuk membacanya. Saya membina gambaran sendiri tentang alam dan manusia dalam Langit Petang. Saya kerap juga bercerita kepada kawan-kawan tentang Langit Petang dan Pak Samad. Tetapi mereka kurang berminat kerana ketika itu majalah hiburan seperti URTV, Varia Pop dan beberapa lagi menjadi kegilaan remaja.

Maka apabila saya menonton filem Langit Petang tahun 1982 di Simpang Empat Theatre, sebuah panggung wayang berdinding papan dan beratap zink, berkerusi kayu, pada mulanya saya kecewa kerana gambaran saya dengan filem itu tidak sama. Gambaran saya terhadap Hafiz dan Zakiah penari kabaret dalam novel Langit Petang juga berbeza. Ketika itu saya belum tahu apa itu adaptasi yang mewajarkan perubahan dari karya asal kepada karya baru seperti filem Langit Petang.

Pada masa itu lagi saya berfikir filem Langit Petang seharusnya lebih kompleks dan tidak semudah Hapuslah Airmatamu atau Si Badul. Sebabnya novel Langit Petang bagi saya yang baru mengenal karya sastera adalah suatu yang kompleks. Hafiz adalah kekuatan Langit Petang. Akhirnya barulah saya tahu bahawa Hafiz itu mewakili Pak Samad yang juga seorang wartawan. Saya juga pernah terbaca luahan hati Pak Samad yang tidak begitu senang dengan filem Langit Petang. Tetapi itu adalah soal lain kerana Shahrom juga ada sudut pandangan baru yang hendak disuntik terhadap filem yang diadaptasi dari novel Langit Petang.

Kerana Langit Petang, Pak Samad menjadi sasterawan pertama yang melekat di ingatan saya. Ketika itu gambar Pak Samad di kulit belakang Langit Petang seorang lelaki kacak berkaca mata, berambut pendek tidak berjambang atau janggut. Tetapi apabila saya mula berkerja di Utusan Malaysia di Kuala Lumpur tahun 1984, wajah Pak Samad sudah berubah. Berjanggut panjang dan bermisai dan berkaca mata macam John Lennon dari kumpulan The Beatles.

Selepas saya datang ke Kuala Lumpur dan banyak hadir ke majlis-majlis sastera dan teater, hubungan dengan Pak Samad menjadi semakin rapat. Pada mulanya agak gusar juga tetapi di satu majlis perasmian pemeran lukisan di Menara Maybank, Pak Samad menegur dan menyebut nama saya.

Di pejabat, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Zainuddin Maidin (kini Tan Sri) tahu saya selalu jumpa Pak Samad di Pasar Budaya mengarahkan saya mendapatkan kenyataan Pak Samad mengenai “mogok seni” pertengahan 1980-an. Esoknya terpampang gambar Pak Samad sambil menggalas beg kain warna biru dan berkata mata ala John Lennon di muka depan Utusan Malaysia. Saya rasa bertuah kerana turut terlibat dalam “mogok seni”, sekurang-kurangnya memberitahu rakyat tentang karenah birokrasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehingga Sasterawan Negara perlu melancarkan protes.

Ketika timbul kontroversi RTM mengharamkan penyanyi lelaki berambut panjang mengambil bahagian di RTM, Zainuddin sekali lagi meminta saya tanya Pak Samad. Ini kerana Pak Samad berambut panjang dan beliau hadir pada pelancaran album kumpulan rock Wings. Kata Pak Samad ringkas saja, “Biar rambut panjang tetapi jangan tangan panjang. Orang yang kerap mencuri duit rakyat bukan berambut panjang.”

Saya juga terpesona dengan naskhah teater Pak Samad, Wira Bukit yang diarahkan oleh Mior Hashim Manap di Auditorium DBKL akhir 1980-an. Saya hadir hampir setiap malam semasa pelakon-pelakon teater; Rahim Razali, Liza Othman, Hisham Ahmad Tajudin, M. Nasir, Pyanhabib berlatih. Saya mulai merasakan bara perjuangan Pak Samad menerusi watak Zuhdi (lakonan Rahim Razali) bekas nasionalis yang merantau ke Indonesia dan apabila negara merdeka, kepulangannya diragui dan dicerca. Sekadar makluman, ketika itu teater Malaysia belum lagi dicemari “sindrom komersial” yang melonggok artis-artis popular membuat “cat walk” di pentas.

Kepuasan menonton Wira Bukit sukar diulangi pada zaman ini. Kehebatan Wira Bukit juga sukar ditandingi. Kehebatan teater bukan berpaksi pada pentas yang mewah dan pelakon yang popular. Paksi teater adalah isi pemikiran dalam naskhah kemudian jatuh ke tangan pengarah yang mampu memahami pengarang dan dilakonkan oleh pelakon yang tahu berlakon. Sebabnya banyak juga yang perasan mereka pelakon teater tetapi tidak boleh berlakon. Kerana itu apabila ada yang mencadangkan Wira Bukit dipentaskan sekali lagi, saya pantas memotong, ”Tidak perlu.”Bold

Walaupun begitu Hujan Pagi lebih menyerlah diri, peribadi dan suara perjuangan Pak Samad untuk menuntut kebebasan dari belenggu politik sempit. Hujan Pagi sepatutnya menjadi rujukan wajib bagi semua wartawan supaya mempunyai kesedaran untuk keluar dari belenggu dan ikatan. Hujan Pagi membuktikan tahap karya sastera kita mampu mencapai taraf dunia.

Tetapi dalam sepinya karya baru, Pak Samad pula membuat cerita baru. Pak Samad mula bercakap tentang politik. Saya berasa seolah-olah ”kehilangan” Pak Samad ketika suara Pak Samad hampir senada dengan pemain-pemain boria di pentas politik. Kenapa begitu? Saya jadi binggung. Kerana itu apabila Pak Samad terlibat dalam perhimpunan haram 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur, saya jadi sangat kecewa. Saya memberitahu rakan-rakan, saya begitu sedih apabila melihat Pak Samad berbaju kuning diapit oleh Anwar Ibrahim dan bekas Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan. Saya fikir Pak Samad tidak memerlukan kedua-dua mereka untuk bersuara. Sama sekali tidak perlu. Sebaliknya mereka memerlukan Pak Samad untuk menggambarkan kononnya golongan seniman juga menyokong mereka. Pada 9 Julai itu saya tidak melihat Pak Samad sebagai Lokman sepertimana saya melihatnya di depan Masjid Negara semasa perhimpunan protes PPSMI dulu. Harap Pak Samad tidak lupakan perjuangan Lokman dalam Hujan Pagi.


1 comment: