Thursday, April 5, 2012

Apabila BN terlalu yakin

Kalau kita menoleh menjelang PRU 12 pada 2008, tidak ada siapa yang percaya BN tergugat begitu teruk pada pilihan raya tersebut. Ini kerana keyakinan BN yang dilontarkan kepada rakyat terlalu tinggi dan seolah-olah tidak ada masalah langsung. Dalam PRU 12, BN kehilangan negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor dan gagal menggugat Kelantan di tangan Pas.

Tetapi yang banyak diperkatakan ketika itu ialah impian BN atau dalam kata lain bekas Perdana Menteri Abdullah Badawi untuk merampas Kelantan. Maka poster dan papan tanda wajah korporat Awang Adek berceracak di Kelantan sebagai “bakal Menteri Besar Kelantan.”

Seminggu sebelum PRU 12 ketika melawat beberapa kawasan di Kelantan, tidak ada siapa (orang luar Kelantan) yang percaya Pas boleh menang. Gelombang serangan BN kelihatan sangat kuat dan sudah pasti Awang Adek akan menjadi Menteri Besar sekaligus membungkus Pas. Tetapi bagi orang Kelantan mereka tidak melihat suatu yang luar biasa dan percaya Nik Aziz tetap terus menjadi Menteri Besar.

Tetapi semasa BN mahu merampas Kelantan, “penyakit” negeri-negeri yang jatuh ke tangan pembangkang langsung tidak timbul kecuali ditimbulkan oleh bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin tentang beberapa negeri akan kecundang. Penyakit BN di Selangor tidak sampai ke telinga Pak Lah dan sudah pasti yang disampai semuanya cantik-cantik belaka.

Begitu juga Perak dan Kedah. Pak Lah hanya mendengar cerita yang elok-elok dan beliau pun memanjangkan keyakinan BN dalam PRU 12 kepada rakyat. Ini bukan salah Pak Lah tetapi beliau tidak diberi maklumat yang betul oleh orang-orang BN sendiri terutama UMNO.

Tetapi bagi sesetengah pihak, tsunami yang meruntuhkan kuasa BN di lima negeri dan prestasi BN yang teruk adalah rahmat. Hujah mereka, sekiranya dalam PRU 12 BN menang besar, Perdana Menterinya bukanlah Pak Lah tetapi menantunya Khairy Jamaluddin yang memainkan peranan besar dalam pemilihan calon-calon terutamanya UMNO dalam PRU 12.

Menjelang PRU 13 yang dijangka Jun depan, BN sekali lagi memperlihatkan tahap keyakinan yang tinggi untuk mengambil balik negeri yang jatuh ke tangan pembangkang. Mengikut laporan media arus perdana, BN Selangor sudah siap sedia dan dengan mudah dapat mengambil Selangor dari pembangkang.

Tetapi rakyat tidak pula diberitahu kayu pengukur apakah yang digunakan untuk menentukan BN cukup kuat di Selangor. Adakah isu-isu yang dicetuskan oleh BN di Selangor menjadi senjata yang akan menewaskan pembangkang? Baru-baru ini UMNO Selangor menyalahkan kerajaan Selangor apabila beberapa kawasan di negeri itu dilanda banjir yang teruk.

Sebenarnya ini bukanlah perang saraf BN yang bijak untuk menawan Selangor. Sebabnya isu banjir di Selangor adalah isu lama sejak zaman BN lagi. Bagaimana kalau ditanya apakah sebelum ini Selangor tidak dilanda banjir hingga menenggelamkan Taman Muda Shah Alam? Begitu juga isu pasir. Ini isu lama kalau tidak percaya cari balik pendedahan Edisi Siasat di NTV7 ketika Selangor diterajui oleh Khir Toyo.

Beginikah cara BN nak melancarkan “perang saraf” dengan pembangkang? Sebenarnya pembangkang banyak kelemahan di Selangor tetapi BN tidak menggunakan kelemahan itu sebagai senjata perang saraf.

Apa yang dibimbangkan ialah apabila BN khususnya UMNO didendangkan dengan tahap keyakinan, ini mungkin memberikan kesan kononnya berada dalam zon selesa dan tidak perlu berkerja keras untuk mencapai kemenangan. Tetapi malangnya tidak ada yang menegur supaya BN dan UMNO jangan mendendangkan yang enak-enak sahaja hingga semua pihak lupa tugas masing-masing.

Kita kena terima hakikat bahawa kejayaan dasar kerajaan, program transpormasi dan bantuan RM500 bukanlah faktor penentu dalam PRU 13. Rakyat melihat bukti di depan mata mereka; harga barang melambung, kos rumah melambung, harga minyak walaupun belum dinaikkan tetapi hanya menunggu masa untuk dinaikkan adalah faktor-faktornya. Dalam keadaan rakyat disuruh berjimat (sebenarnya yang tidak berduit memang berjimat) kerajaan pula kelihatan membazirkan duit yang dikutip dari cukai yang dibayar oleh rakyat.


No comments:

Post a Comment