Tuesday, March 6, 2012

Zahari Hasib yang saya kenali

Saya mengesani pemikirannya selepas banyak kali melihat dia deklamasi puisi di Kuala Lumpur tahun 1984. Saya terpikat dengan puisi-puisinya yang ringkas dan meminjamkan gaya deskriptif. Puisi-puisinya boleh dinikmati oleh banyak orang sekalipun tidak boleh difahami oleh semua orang. Puisi-puisi yang bercorak impresionistik telah memperkenalkan dia sebaris dengan penyair lain.

Puisinya tentang buang manggis tampuk di kulit dan ulasnya di dalam sangat mengesankan. Katanya, manggis tidak pernah berbohong, lima cabang tampuknya, ada lima ulas di dalamnya. Dia seorang yang sangat memerhati kemudian dipindahkan menjadi puisi dengan suntikan pemikiran dan kritikan.

Tetapi seingat saya, sepanjang usia kepenyairannya, dia tidak pernah ditonjolkan sebagai salah seorang penyair yang pernah kita miliki. Dia penyair agak terpinggir. Walaupun bukan tergolong sebagai penyair muda 1980-an tetapi itulah zaman kemuncaknya. Dekad 1980-an adalah suara lantang penyair muda mengkritik sistem sosial dan mencari diri, tetapi Zahari terus dengan gayanya bagai seorang ayah menegur anak-anak. Tambahan pula sikapnya yang tidak pernah bermegah kerana kerap juga diulangi, "Saya tak sekolah tinggi."

Saya fikir salah sebuah bukunya, Menyorot Kisah dan Ilham (1987) penting untuk kita menyingkap proses kreatif dia menghasilkan puisi-puisi sinikal dan satira sosial yang tajam. Dia menghasilkan tiga antologi puisi, Kuntuman Harapan (1992), Debu Di Kaca (1995) dan Bunga-Bunga Terbuang (1989).

Malam Ahad lalu (26 Februari) tatkala menerima SMS daripada Pengurus Besar TV AlHijrah, Zainal Rashid Ahmad mengkhabarkan berita duka kepulangannya ke negeri abadi, saya segera teringat susuk dan pekertinya yang sering membuat saya terharu. Kepulangan penyair Zahari Hasib pada usia 65 tahun di Teluk Intan, Perak membuatkan saya kehilangan orang yang berpekerti tinggi. Saya masih menyimpan 15 puisi yang ditulis dengan mesin taip yang belum disiarkan. Membaca kembali semua puisi ini mengingatkan Zahari yang pernah saya kenali 28 tahun lalu.

Suatu yang sangat sentimental dan mengharukan perasaan saya kerana semua puisi itu dihantar sendiri dengan tangan. Zahari yang lahir pada 15 Jun 1947 itu menetap di Teluk Intan, menaiki bas ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menghantar puisi kemudian balik semula ke Teluk Intan. Bersama sampul puisi, Zahari menghulurkan beberapa pek plastik berisi gula-gula yang diklip pada sekeping kertas sebesar kelingking bertulis, "Ikhlas Daripada Zahari Hasib."

Zahari seorang yang humanis, deria rasa dan kotak fikirnya seiringan menangkap pergulatan sosial dan dia ada saranan. Zahari menerusi puisi-puisinya sangat akrab dengan sosialisasi di sekeliling. Dia melihat dari sudut pandangan yang dalam dan penuh tanggungjawab. Zahari seorang pemerhati dan perenung yang setia, tentang sekecil-kecil benda hingga kepada sebesar-besarnya. Puisinya, Hakikat pertama kali disiarkan dalam majalah Pemimpin tahun 1969 dan mula menulis puisi sejak awal tahun 1960-an lagi.

Perkenalan pertama dengan Zahari ketika saya ketika menghadiri pelancaran pameran lukisan di Rumah Anak Alam berhampiran Padang Merbuk, Kuala Lumpur tahun 1984. Saya pernah nampak wajahnya dan kenal siapa dia. Saya memperkenalkan diri dan kami berbual agak panjang seusai majlis hingga lewat malam.

Setahun kemudian, kerana tidak ada pihak yang memberi peluang khusus kepada Zahari mendeklamasikan puisi-puisinya depan khalayak, saya bersama Wan Zulkifli Wan Yaacob sekarang Ketua Biro Utusan Terengganu, Zulkifli Ismail (pelakon drama), Halim Yazid pelajar Universiti Malaya sekarang Pegawai Kebudayaan Universiti Malaya menganjurkan Malam Puisi Zahari Hasib di Pusat Seni, Jalan Bandar.

Acara puisi itu dianjurkan secara "miskin" tetapi kepada Zahari itu adalah catatan penting dalam sejarah kepenyairannya. Zahari sangat terharu kerana diberi peluang menjadi hos acara deklamasi puisi. Penyair lain kerap mendapat pendedahan dan sering tertonjol di majlis-majlis sastera, tetapi tidak kepada Zahari. Ada sesetengah pihak menganggap puisi Zahari tidak ada nilai. Kata mereka, bahasanya terus terang, tidak mendalam dan nipis pemikiran.

Tetapi kami ketika itu walaupun bukan mahir hal puisi dan sastera memikirkan Zahari ada kelebihan dan keunikan. Zahari ada pemikiran dan menggunakannya untuk mengkritik dan kerap kali juga satiranya menyentak perasaan.

Kali terakhir lebih kurang enam bulan lalu, ketika datang ke pejabat, Zahari tidak mengambil masa saya selain bertanya khabar dan menghantar karyanya. Dari jauh tujuannya untuk menghantar karya dan tidak berbual kosong. Saya fikir Zahari antara orang yang memulakan hari baru dengan membaca akhbar. Buktinya Zahari akan menelefon saya seawal pukul 7 pagi hari Ahad kalau ada puisinya disiarkan dalam Mingguan Malaysia. Tuturnya ringkas sahaja, "Terima kasih daripada Zahari Hasib."

Peribadi Zahari banyak mengajar saya yang kurang ilmu supaya menerima teguran walaupun ada kala melukakan. Zahari sangat sedar duduknya dalam dunia puisi, kerana itu tidak pernah diluah keterpinggirannya dalam peta puisi Malaysia.


2 comments:

  1. Sesungguhnya kerana Allah kita datang dan kepada Allah kita pergi.

    ReplyDelete
  2. Semoga 15 puisi beliau yang belum diterbitkan dapat ditatap kami peminat setianya. Alfatihah.

    ReplyDelete