Wednesday, March 7, 2012

Retrospektif Pusat Seni KL

Melewati Jalan Bandar di sebelah Balai Polis Jalan Bandar ada sebuah bangunan agak antik. Itu adalah pejabat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan. Seni binanya menarik. Tetapi kenangan berputar kembali bukan pada banguan antik ini. Kenangan 28 tahun lalu pada sebuah banglo kolonial usang dua tingkat yang dipanggil Pusat Seni Kuala Lumpur.

Beberapa bulan selepas diterima berkerja di Utusan pada 1984, Ketua Pengarang Kumpulan ketika itu, Zainuddin Maidin (kini Tan Sri) mengarahkan saya mengikuti kursus teater yang dianjurkan oleh Markaz Drama. Yuran bulanan dibayar oleh Utusan dan saya mesti mengikuti kursus mingguan itu yang jangkamasanya ”selagi ada bulan dan bintang.”

Maka setiap Rabu pukul 8 malam saya akan ke Pusat Seni kerana pemilik Markaz Drama, Allahyarham Mustaffa Noor sangat tegas tentang disiplin. Tidak boleh lewat seminit. Mustafa ketika itu baru pulang dari melanjutkan pengajian teater di New York. Bersama-sama Mustaffa menerajui Markaz Drama ialah Mohd Noor, Rahman Adnan (bekas wartawan kanan NST) dan Normah Nordin.

Setiap minggu Zainuddin akan bertanya saya perkembangan saya di Markaz Drama. Bersama-sama saya di Markaz Drama ialah ND Lala, Saharuddin Thamby, Allahyarham Siti Rohani Wahid (isteri M. Jamil), Nasir Bilal Khan, Roslan Madun, Mahathir Mohamad, Ariff Awaluddin dan Talib Suhut. Masa itu ND Lala kerja pencari fail di Jabatan Pendaftaran Negara di Petaling Jaya, Saharuddin pula kerja swasta, Nasir Bilal tak perasan pula apa kerjanya. Yang pasti mereka semua belum lagi jadi artis.

Di Pusat Seni, Markaz Drama mementaskan beberapa teater antaranya Jiwa Merdeka iaitu teater puisi bertema patriotik, Musuh Rakyat (terjemahan karya Henrik Ibsen). Teater ini ada ceritanya. Pementasan diadakan selama lima malam. Malam pertama Johan Jaaffar (kini Pengerusi Media Prima) pegang watak utama sebagai Dr. Stockham. Tetapi malam kedua Mustaffa Noor sendiri pegang watak itu selain mengarah. Rupa-rupanya Johan kena ”buang” kerana Mustaffa tidak berpuas hati dengan lakonannya.

Bayangkan Johan Jaaffar kena buang dari teater. Tetapi pertentangan sudut pandangan antara Johan dan Mustaffa berlaku secara profesional. Tidak ada tumbuk meja atau terbalikkan meja. Rasanya Mustaffa Noor orang pertama yang “buang” Johan kerana tidak ada yang berani membuangnya yang ketika itu menjadi tokoh teater muda yang sangat lantang.

Menyertai Markaz Drama, bergaul dengan golongan seniman gelandangan di Pusat Seni memberi pengalaman yang sangat manis. Walaupun Pusat Seni tidak sepanjang masa ada pementasan tetapi sepanjang masa ada seniman gelandangan ini di bangunan usang itu. Khalid Salleh, Sani Sudin, Usop dan Siso yang ketika itu belum lahir Kopratasa, Mior Hashim Manap dan isterinya Izaidah Khairan, Pyanhabib yang kebetulan satu pejabat dengan saya selalu berada di situ.

Di tepi Pusat Seni ada sederet gerai mamak, kami berbual hingga lewat malam hanya minum segelas teh tarik. Tak tergamak nak makan mi atau bihun goreng kerana kawan-kawan lain hanya minum. Nak belanja memang tak mampu. Pusat Seni adalah dunia kedua saya selain Utusan. Kalau di Pusat Seni, saya kelihatan sangat berbeza kerana berseluar slack walaupun kain khaki tidak diseterika dan baju tangan panjang dilipat hingga atas siku. Semua yang lain hanya seluar jeans lusuh, kasut kanvas dan baju T sahaja.

Walaupun 28 tahun berlalu, kesan gelungsur bahtera masa pada pantai kenangan itu masih segar. Saharuddin pun sudah lama tak bertemu. Tetapi saya gembira kerana berpeluang berkerjasama dengan Saharuddin dalam drama ”Tempua” tahun 1987. Drama pertama arahan U-Wei Haji Saari selepas pulang setelah 12 tahun di New York dan saya jadi penolong pengarah. Saharuddin berlakon dengan Aida Rahim (ketika itu hanya model dan belum dikenali). Skrip ”Tempua” U-Wei dan saya adaptasi dari novel Tempua Bersarang Rendah karya Rejab F.I.

Walaupun saya banyak bergaul dengan orang seni, tidak kira pelakon teater atau filem termasuk pengarah filem tetapi saya tidak pernah terlintas untuk terlibat secara langsung dalam seni. Saya tetap mahu jadi wartawan. Saya hanya seorang pengamat karya seni tetapi bukan seniman. Saya fikir saya membuat pilihan yang tepat untuk terus jadi wartawan.

No comments:

Post a Comment