Monday, March 19, 2012

Otak cerdik pandai dicemari virus

SAYA sungguh terkejut membaca berita anak-anak Malaysia yang pada keseluruhannya menganggotai pertubuhan atau NGO Islam akan menyertai tunjuk perasaan anti Presiden Syria, Bashar al-Assad yang dirancang akan diadakan di pekarangan kedutaan Syria pada Sabtu ini (17 Mac 2012)

Penganjur perhimpunan itu mempropagandakan lebih 10,000 akan menyertainya dengan tujuan untuk menentang kezaliman presiden itu. Tetapi apakah benar beliau zalim atau pihak yang menyusun 'Jenayah Hasutan' dengan berselindung di sebalik 'Arab Spring' yang lebih kejam dalam menumpahkan darah rakyat Syria?

Kita tahu Syria adalah sebuah negara yang makmur dan disenangi oleh orang luar, terutamanya pelajar-pelajar dan rakyat kita yang berada di negara itu. Tetapi sejak kebangkitan pemberontakan dalaman dari 'Jenayah Hasutan' luar maka kita telah disogokkan dengan hanya berita dari suatu pihak sahaja.

Kita harus menunjukkan kepada dunia bahawa sekalipun kita percaya kepada jalur globalisasi tetapi dalam beberapa hal kita mempunyai pendirian sendiri.

Kita mempunyai maruah sendiri, tidak mudah diperalatkan untuk menyampaikan hasrat kuasa besar untuk matlamat 'Regime Change' yang menumpahkan darah tetapi digambarkan sebagai indah dengan istilah 'Arab Spring' atau Musim Bunga di dunia Arab.

Tidak mungkin apa yang berlaku terhadap Syria sekarang tidak akan berlaku dalam negara kita untuk tujuan 'Regime Change' sekiranya kuasa besar memikirkan ini perlu dilakukan. Bagaimanakah perasaan kita jika dalam suasana tekanan rakyat negara negara sahabat mengadakan tunjuk perasaan menyokong musuh kita?

Jika kita memperlihatkan diri kita mudah dipergunakan untuk matlamat melumpuhkan sebuah negara asing yang bersahabat karib dengan kita, maka ini akan membuka laluan mudah kepada mereka untuk mempergunakan rakyat kita bagi mencapai matlamat roadmap mereka.

Kuasa Besar mempunyai ejen di mana-mana termasuk rakyat mereka di luar negara seperti pelajar-pelajar Syria atau ahli perniagaan mereka di Malaysia dan sebagainya untuk membantu menyempurnakan matlamat terakhir bagi demokrasi mengikut acuan mereka di dunia Arab.

Janganlah kita begitu mudah mengecap Presiden Syria sebagai zalim kerana sebenarnya apa yang berlaku di negara ini adalah 'Jenayah Hasutan' Barat yang terancang, tersusun dan kejam yang dijuarai oleh Amerika Syarikat dan Israel dengan dukungan negara-negara Barat.

Matlamat terakhir mereka ialah Iran. Tetapi sebelum Iran, Syria mesti dilumpuhkan seperti mereka lakukan terhadap Tunisia, Libya dan Mesir. Maka akan sempurnalah sebuah kekejaman yang tidak ada taranya yang berselindung di sebalik bunga-bunga berkembang. Sebenarnya ia telah mula berkembang dari Iraq.

Saya hairan bagaimana NGO yang diketuai oleh orang-orang cerdik di negara kita terutama Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia (PKPIM), Pertubuhan Jemaah Islam Malaysia (JIM) dan beberapa pertubuhan Islam terlibat dalam penganjuran perhimpunan ini? Ini menggambarkan taraf intelektualiti mereka. Bagaimanapun saya tidak terkejut dengan penglibatan ABIM.

Komen saya:

Surat di atas ditulis oleh Tan Sri Zainuddin Maidin bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dan disiarkan di halaman forum Utusan Malaysia. Saya sangat setuju dengan pandangan beliau yang tidak “dicemari” oleh dakyah Barat yang memberi gambaran seolah-olah pemimpin Syria berlaku zalim kepada rakyat.

Siapa yang memberi istilah “Arab Spring” kalau bukan media Barat yang menggambarkan seolah-olah kebangkitan rakyat itu era yang ditunggu-tunggu oleh rakyat? Benarkah kejatuhan Muammar Gadaffi di Libya memberi musim bunga kepada rakyat Libya? Benarkah kejatuhan Hosni Mubarak memberi musim bunga kepada Mesir?

Semua ini kelangsungan yang terancang selepas meranapkan Iraq tetapi apa jadi dengan Iraq sekarang? Kemudian Arab Spring ini dikatakan akan merebak ke Iran untuk menjatuhkan pemimpin Iran yang dipilih menerusi pilihan raya.

Saya sebenarnya tidak faham apa yang difahami oleh puak-puak yang membuat tunjuk perasaan menyokong Barat ini. Apakah mereka melihat selapis dan tidak melihat permainan Barat menyokong rakyat di negara berkenaan menjatuhkan pemimpin?

Menghadiri tunjuk perasaan bukan sahaja membuang masa malah memperlihatkan sebahagian besar kononnya golongan cerdik pandai kita dicucuk hidung oleh Barat. Tahniah kepada media Barat kerana berjaya membuatkan segelintir cerdik pandai Melayu termakan racun mereka.

Adakah mengiyakan dakyah Barat membuktikan puak-puak ini benar-benar cerdik dan pandai? Kepala otak mereka ini di mana agaknya ya?

1 comment:

  1. Pada satu sudut, saya memahami perkara yang cuba disampaikan Tan Sri Zainuddin Maidin dan komen tuan.

    Sebagai seorang yg masih belajar & cetek ilmu pengalaman, konflik negara Arab ini bagi saya agak rumit dan penuh kejutan.

    Kadangkala, kedua-dua pihak bakal membawa kesan buruk. Sukar utk menilai mana satukah yg lebih baik (yg lebih kurang kesan buruknya). Bagi saya, situasi ini sedang berlaku di Malaysia sekarang.

    Musuh sebenar sangat licik dan sentiasa pandai mengambil peluang pada setiap keadaan. Hanya golongan cerdik dan beriman yg mampu meramal peristiwa, tetapi biasanya ideanya mempunyai paradigma berlawanan dan sah lakunya akan diakui pada masa hadapan.

    Cuma, bagaimana pula dengan kekejaman yang dilakukan oleh Basyar Assad kepada rakyatnya? Apakah pendapat tuan?

    Saya fikir, mereka tunjuk perasaan kerana kekejaman itu.

    ReplyDelete