Monday, March 19, 2012

Nasib budaya di tangan penjual tomato

Seorang dalang wayang kulit terhandal di negara ini tidak boleh menampung hidup dengan kerja seninya semata-mata. Dia terpaksa ke laut untuk menangkap ikan atau ke ladang untuk mencari rezeki menyara keluarga. Begitu juga tokoh makyung, satu kesenian tradisi yang sangat unik tetapi terpaksa menjadikan kerja seni sebagai sambilan kerana tidak menjamin masa depan.

Di atas adalah dua contoh bagaimana kerja seni di negara ini tidak boleh memberi rezeki untuk menyara keluarga, jauh sekali untuk hidup kaya raya. Padahal keunikan kesenian tradisi kita misalnya dikagumi di seluruh dunia. Anehnya keunikan yang begitu tinggi tidak mampu memberi nilai ringgit kepada seniman yang bergelumang dalamnya. Cuba lihat di Kuala Lumpur sekarang, berapa orang seniman kesenian tradisi yang digaji kerana kesenimanannya? Jawapannya tidak ada.

Kesenian tradisi kita mencapai tahap yang membolehkan mereka yang terlibat menjadi seniman sepenuh masa. Tidak mustahil seniman ini bergaji bulan yang pendapatannya setaraf eksekutif kanan. Sebabnya nilai kesenian tradisi kita itu diperakui di peringkat antarabangsa. Tetapi kenapa keadaan ini tidak berlaku di negara yang menjadi negara maju pada tahun 2020?

Ini sebenarnya berkait rapat dengan krisis dan konflik dalam pengurusan budaya di negara ini. Budaya tidak diurus sebagai salah satu harta negara, sebaliknya sekadar menjelmakan hal-hal luaran yang nilainya tidak seberapa. Sebenarnya topik ini dibahaskan kerana kita tidak serius ke arah membina keunggulan budaya. Selama ini semua yang berkaitan budaya berada di kelas dua atau tiga di serba segi; peruntukan, persepsi dan prestij.

Kita memahami budaya daripada hal-hal yang luaran atau kemilau sahaja misalnya program Citrawarna, Malaysia Fest dan segala macam rambu- ramba penuh warna-warni. Bagi kita itulah budaya. Apabila menganggap itulah budaya yang hendak dijual kepada pelancong, pelancong yang faham budaya akan ketawa kepada kita.

"Menjual budaya tidak seperti menjual tomato,” demikian hujah Prof. Bruno S. Frey yang dimuatkan dalam esei A Study Not for Narrow Minds. Bruno adalah profesor kursus budaya ekonomi dalam program pengurusan budaya di Universiti Basel, Switzerland.

Gagasan kota budaya atau negara budaya ini sebenarnya sangat menarik. Kita telah melangkah kepada satu fasa penting untuk mengukuh dan sekali gus membawa nilai budaya kepada masyarakat setempat dan global. Semua ini menuntut pengurusan yang cekap dan faham apa yang hendak “dijual” sebagai meminjam frasa Bruno tadi. Maknanya siapa saja yang duduk di barisan pengurus budaya, yang hendak dijual bukanlah tomato atau pisang goreng.

No comments:

Post a Comment