Thursday, March 8, 2012

Apabila Shakespeare dipertikai

(Petikan Utusan Malaysia 10 Okt. 2005)

Pertikaian tentang siapakah yang menulis karya atas nama William Shakespeare muncul lagi. Kali ini perkara itu dibangkitkan lagi oleh dua tokoh akademik, Brenda James dan Profesor William Rubinstein.

Di Barat kontroversi keaslian Shakespeare bukan murahan. Ini kontroversi akademik yang menuntut hujah yang bukan saja tinggi malah meyakinkan. Selain mengkaji karya-karya, mengkaji kontroversi seperti ini juga adalah sebahagian daripada jurus pengajian di Barat.

Kontroversi keaslian karya-karya besar Shakespeare sudah dibahaskan sejak abad ke-19 lagi. Antara nama-nama yang dikaitkan sebagai pengarang asal karya-karya Shakespeare adalah Francis Bacon, Christopher Marlowe dan juga Queen Elizabeth I.

Shakespeare adalah pengarang Inggeris yang paling terbilang. Dia pasti akan mengingatkan kita kepada karya-karya besarnya A Midsummer Night's Dream, The Merchant of Venice, Romeo and Juliet, Julius Ceaser, Macbeth, Hamlet, King Lear dan Othello.

Mempertikaikan keaslian Shakespeare adalah sama dengan mempersoalkan institusi Inggeris yang sangat dihormati itu. Ini kerana institusi Inggeris ada dalam karya Shakespeare.

Tokoh terbaru yang diseret dalam kontroversi ini ialah Henry Neville, seorang politikus Tudor dan juga ahli diplomat. James dalam hujahnya mendedahkan buku catatan Neville sebenarnya tersimpan di Tower of London sekitar 1602. Bagaimanapun semuanya terbongkar selepas pementasan Henry VIII yang pertama beberapa tahun kemudian.

Kalau dilihat kembali dalam karya-karya Shakespeare, dekad inilah yang menjadi latar kepada karya yang disifatkan oleh James sebagai "Great Shakespearian tragedies.''

Untuk mempertikaikan Shakespeare bukan mudah. Lihatlah bagaimana seorang sarjana Belgium, Celestin Demblon yang terpaksa membaca tidak kurang 5,000 buah buku apabila beliau cuba menulis kontroversi ini.

Shakespeare mempunyai penyokong dan penentangnya. Kalangan penyokong dilabelkan sebagai Orthodoks atau Stratfordians yang mengambil nama tempat lahirnya Stratford-upon-Avon.

Kalangan penentang pula melabelkan diri mereka sebagai Baconians, Oxfordians atau Ruthlanders. Bagi mereka kandungan dan tema karya Shakespeare tidak mungkin dapat dihasilkan oleh orang kelas bawahan seperti Shakespeare.

Tambahan pula seorang rakyat biasa pada abad ke-19 hanya menguasai 300 perkataan dalam perbendaharaan katanya, pemikir terbilang mempunyai 10,000 perkataan tetapi anehnya Shakespeare mempunyai 15,000 perkataan. Maka apabila kita terpesona dengan Hamlet, Julius Caesar atau Macbeth siapakah yang kita kagumi sebenarnya? - KU SEMAN

No comments:

Post a Comment