Monday, March 12, 2012

Apa maknanya Shahrizat letak jawatan?

Petikan Utusan Online (12 Mac 12)

SELEPAS sekian lama dihujani persoalan mengenai kedudukannya dalam kerajaan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akhirnya memutuskan akan mengundur diri daripada memegang jawatan itu sebaik sahaja penggal keanggotaannya selaku Ahli Dewan Negara tamat pada 8 April ini.

Dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Jalinan Kasih Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di ibu negara, Shahrizat dengan tenang menegaskan keputusan meletak jawatan itu adalah keputusannya sendiri.

Surat mengenai perkara tersebut dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.

Komen saya:

Pertama, hari ini saya rasa loya membaca reaksi daripada beberapa pemimpin yang memuji Shahrizat membuat keputusan “tepat” meletak jawatan. Saya fikir mereka bukan manusia tetapi burung kakak tua yang mengajuk Perdana Menteri bercakap. Perdana Menteri mengalu-alukan tindakan Shahrizat maka juak-juak yang tukang kipas pun memberi reaksi yang selari.

Sebelum ini burung kakak tua yang memberi reaksi dalam akhbar hari ini tidak pula menasihat atau mendesak atau memaksa Shahrizat letak jawatan kecuali Timbalan Menteri Pelajaran Dr. Fuad Zarkashi dan Ketua UMNO Cheras Syed Ali Alhabshee. Yang lain tak bersuara. Kenapa tiba-tiba hari ini mereka galak beri reaksi?

Kedua, saya tidak mahu tergolong dalam kelompok yang diperbodohkan Shahrizat ekoran isu letak jawatan ini. Cuba lihat betul-betul, Shahrizat ini kalau dia tak letak jawatan pun dia akan “diletakkan” kerana keanggotaannya sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) akan tamat pada 8 April ini. Mahu tidak mahu dia kena letak jawatan juga. Jadi apa ke jadahnya memuji tindakan Shahrizat ini? Kalau Shahrizat jujur meletak jawatan, awal-awal lagi dia sudah melakukannya sebelum Fuad Zarkashi atau Syed Ali mendesak dia berbuat demikian.

Ketiga, tindakan Shahrizat ini tidak menyumbang kepada UMNO kerana sebelum ini dia berkali-kali cuba mempertahankan tindakannya tidak meletakkan jawatan kerana dia tidak bersalah. Dia menegaskan tidak mahu tunduk kepada tekanan pembangkang. Sekarang adalah dia tunduk kepada tekanan pembangkang dengan tindakan itu?

Keampat, apabila ada yang berkata perjuangan Shahrizat belum selesai, saya sekadar mengingatkan janganlah terlalu membodohkan rakyat. Kalau semasa dalam kerajaan dia tidak boleh menyumbang apakah dia boleh berbuat demikian selepas tidak ada jawatan? Tidakkah mereka sedar bahawa mentaliti kita selepas seseorang itu letak jawatan, maka rasa hormat kepada pemimpin itu juga turut hilang. Contoh jelas selepas Dr. Mahathir letak jawatan, banyak menteri yang sebelum itu “semuanya angguk” tiba-tiba membelasah Dr. Mahathir kiri dan kanan terutama Si Nazri Aziz. Kalau orang tahap Dr. Mahathir tidak diperlukan sumbangannya, inikan pula Shahrizat.

Kelima, cara terbaik perletakan jawatan Shahrizat dibiarkan berlalu begitu sahaja. Ini menunjukkan UMNO atau kerajaan tidak bergantung kepada isu Shahrizat. Tidak perlu dibesarkan seolah-olah perletakan jawatan seorang Perdana Menteri. Kalau seseorang pemimpin banyak menyumbang kepada bangsa dan negaranya, kalau tidak disebut sepatah pun jasanya, rakyat tetap menghargainya. Jadi, kita anggaplah Shahrizat banyak berjasa dan rakyat akan terus mengenang dia.

1 comment:

  1. Saya fikir ini bukanlah isu letak jawatan walaupun rakyat cuba dipesongkan bahawa ini satu perletakan jawatan. Saya setuju dengan saudara, ini adalah kontrak telah tamat. Samada letak atau tidak, 8 April Shahrizat kena angkat kaki juga. Rasanya belum ada lagi senator yang jadi menteri akan terus jadi menteri walaupun tempohnya tamat. Maaf cakaplah saya belum nampak di mana yang orang kata kejujuran Shahrizat meletak jawatan. Saya fikir kalau benar dia jujur, sebelum pembangkang jadikan isu dia sudah letak jawatan.

    ReplyDelete