Tuesday, March 6, 2012

Ambil iktibar hikayat silam

JUMAAT lalu (2 Mac. 2012) ketika singgah di kafe Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan berbual dengan beberapa teman, tercetus isu Hang Tuah. Kata seorang teman, ada yang percaya bahawa Hang Tuah tidak pernah wujud kerana tidak ada bukti sejarah yang ditinggalkan.

Saya menyampuk, Hang Tuah wujud atau tidak bukan isunya. Yang lebih penting daripada kisah Hikayat Hang Tuah adalah nilai dan teladan yang ditinggalkan nenek moyang kita. Biarlah Hang Tuah itu tidak wujud tetapi dari Hikayat Hang Tuah itu kita dapat mempelajari banyak perkara.

Hikayat Hang Tuah yang pernah diterbitkan secara mewah oleh Yayasan Karyawan atas inisiatif Allahyarham Datuk Hassan Ahmad penting kepada orang Melayu. Hikayat ini memberi banyak peringatan supaya kita berhati-hati. Watak-watak dalam Hikayat Hang Tuah sama ada baik atau tidak terus wujud hingga hari ini. Watak hitam Pateh Karma Wijaya yang bermain politik kotor hingga Sultan Melaka menjatuhkan hukuman mati terhadap Hang Tuah ada dalam kalangan kita.

Watak ini selalu mengadu domba, menyebarkan cerita yang tidak benar untuk kepentingan politik dan sanggup memijak orang lain untuk mencapai matlamat. Politik antara Hang Tuah dan Pateh Karma Wijaya sangat jelas ketika ini. Perebutan jawatan dalam politik seolah-olah mewajarkan segala macam kerja buruk bagi mencapai cita-cita.

Malah watak putih Hang Tuah juga perlu ditelaah, jangan diikut membuta tuli. Ada yang bertanya apakah kewajaran Hang Tuah melarikan Tun Teja yang sudah bertunang untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka? Ada yang menganggap itu lambang kesetiaan Melayu kepada raja.

Ketika ini watak Hang Tuah juga ada dalam kalangan orang Melayu yang "menurut perintah" sekalipun arahan itu bertentangan dengan Perlembagaan negara ini. Sepatutnya mereka menasihat pihak yang memberi arahan bahawa itu melanggar Perlembagaan. Tetapi kerana mereka juga mahu menjadi Hang Tuah, segalanya dipatuhi.

Hang Tuah sepatutnya ada kekuatan dalam menasihatkan Sultan Melaka dalam banyak perkara berkaitan kepentingan rakyat. Tetapi dia tidak melakukannya hingga Sultan Melaka mahu membina jambatan emas dan jambatan perak bukan untuk kepentingan rakyat.

Hikayat silam adalah kecemerlangan berfikir generasi silam. Ia bagai cermin untuk kita mentafsir dan menilai teladan dan pesanan supaya ia tidak berulang. Maka Hikayat Hang Tuah itu sangat bernilai berbanding hujah kewujudannya. Begitu juga dengan watak Si Kitul dan Raja Mendeliar dalam Sejarah Melayu. Semua ini mengingatkan supaya kita berhati-hati dengan kewujudan manusia seperti ini.

Alangkah baiknya kalau kita awal-awal lagi berwaspada dengan Si Kitul, Raja Mendeliar, Pateh Karma Wijaya malah Sultan Melaka sendiri supaya tidak berulang tragedi seperti dalam hikayat silam. Buktinya empayar Melaka yang hebat dulu jatuh kerana wujudnya watak-watak ini.


2 comments:

  1. Menurut Andaya (2002), Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi adalah pemimpin ulung kaum Orang Asli. Kekuasaan Orang Asli dalam pemerintahan Melaka serta kerajaan-kerajaan Melayu yang lain mengalami kemerosotan dengan kematian ketiga-tiga tokoh ini. Pendapat ini dipetik dari Pagan Races of the Malay Peninsula, Macmillan, London 1906 karangan Skeat, W.William and C.O. Blagden.

    Andaya juga memetik pendapat Juli Edo, seorang ahli antropologi dari etnik Semai yang mengatakan bahawa Hang Tuah dan Hang Jebat adalah Orang Asli. Hang Tuah ialah Orang Jakun (Winstedt, 1935). Hang Tuah dan keluarganya berpindah ke Hulu Perak selepas kematian Hang Jebat.

    ReplyDelete
  2. Biarlah siapa pun Hang Tuah, tak penting sangat pun. Saya lebih suka memetik makna dari yang dikisahkan dan kalau Hang Tuah tak wujud lagi bagus. Tetapi fakta yang sdr berikan memang menarik tetapi jangan dihebohkan, nanti ada puak yang tak buat kerja lain kerana asyik berforum dan berseminar tentang Hang Tuah pula.

    ReplyDelete