Thursday, March 29, 2012

Ambil endah syor Dr Mahathir

Cadangan bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad supaya UMNO meletakkan calon bukan kalangan ahli UMNO yang mempunyai kemampuan, pengalaman dan yang paling penting tidak terlibat dengan rasuah adalah suatu yang sangat menarik untuk direnungi. Tradisi UMNO sebelum ini hanya memilih kalangan ahli UMNO atau lebih tepat lagi yang “berkepit” dengan pemimpin di peringkat negeri dan persekutuan menjadi calon dalam pilihan raya.

UMNO mesti memberi perhatian kepada cadangan Dr. Mahathir kerana ada segelintir wakil rakyat UMNO termasuk yang memegang jawatan peringkat persekutuan terlibat dengan penyalahgunaan kuasa dan tidak mengamalkan ketelusan. Kalau orang begini terus dipilih bertanding mewakili UMNO, peluang untuk menang adalah tipis kerana rakyat tahu apa yang dilakukan oleh pemimpin mereka.

UMNO mesti realistik bahawa tidak semua pemimpin yang hebat berpolitik boleh menjadi pemimpin yang baik kepada rakyat. Kalau setakat hebat di pentas ceramah dan orang itu terus dipilih sebagai calon dalam PRU 13, yang teraniaya adalah rakyat sekiranya mereka mendapat pemimpin yang pandai retorik tetapi haram satu kerja pun tak jadi.

Bagi saya biarlah pemimpin yang kita pilih tidak berapa pandai berpolitik atau bermuka-muka dengan rakyat tetapi tidak terlibat dengan penyalahgunaan kuasa seperti yang dilakukan oleh beberapa pemimpin. Maka caranya kenalah pilih dari luar tempurung UMNO terutamanya kalangan profesional yang mahu menyumbang bakti kepada rakyat.

Tetapi soalnya mahukah UMNO berbuat begitu? Sekarang ini semua yang pegang jawatan di peringkat bahagian ke atas mengimpikan nama mereka terpilih sebagai calon. Mereka pun mengadu domba dan modal yang selalu digunakan ialah setia kepada UMNO sejak lama dulu. Bayangkan kalau dalam situasi ini tiba-tiba calon yang dipilih adalah bukan kalangan ahli UMNO.

Kita tentu pernah dengar bagaimana calon dalam PRU 12 yang disabotaj oleh pemimpin UMNO sendiri apabila nama mereka tidak terpilih. Kepentingan diri mengatasi kepentingan umum menjadi pegangan sejak lama dulu. Kalau calon bukan ahli UMNO dipilih, besar kemungkinan dia akan disabotaj oleh penyokong-penyokong calon yang bermati-matian menonjolkan diri supaya dipilih.

Lihatlah sejak Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan hanya akan memilih “calon boleh menang” dalam PRU 13, cuba kira berapa orang Menteri, Timbalan Menteri atau Setiausaha Parlimen yang dengan rela mengatakan mereka tidak bertanding dalam PRU 13. Setahu saya belum ada yang mengakui diri mereka tidak layak kerana kalau boleh mereka mahu berkuasa sampai mati.

Setakat ini hanya bekas Menteri Besar Terengganu, Idris Jusuh yang secara terbuka mengatakan dia tidak bertanding. Tetapi ADUN dan Ahli Parlimen lain bagaimana? Semuanya kunci mulut dan maksudnya kita boleh faham iaitu kalau boleh nak bertanding lagi walaupun prestasi mereka buruk. Mustahil semua ADUN dan Ahli Parlimen UMNO mempunyai rekod terbaik hingga tidak terbuka mulut untuk menarik diri dengan sukarela. Sama-samalah kita nanti komen daripada pemimpin UMNO terhadap cadangan bernas Dr. Mahathir ini. Mudah-mudahan banyaklah yang terbuka hati untuk melepaskan jawatan kepada orang lain yang lebih layak. Jangan biarkan rakyat “mengajar” UMNO buat kali kedua selepas 2008.


1 comment:

  1. Pemimpin yang tidak ikhlas akan sampai tarikh luputnya, tidak kira daripada golongan mana pun mereka.

    ReplyDelete