Sunday, February 19, 2012

Mana perginya pengarah filem?

Pagi tadi saya hadir ke acara Dialog Orang Muda (DOM) anjuran Persatuan Penulis Nasional (PENA) di Rumah PENA. Tajuknya menarik perhatan saya iaitu Moraliti Dalam Filem: Tanggungjawab Siapa. Walaupun saya bukan lagi tergolong “orang muda” tetapi tajuk ini memikat saya. Tetapi apabila tiba di Rumah Pena, bukan saya sahaja bukan “orang muda” sebab pengarah dan pensyarah filem Hassan Mutalib pun hadir sama.

Panel dialog kali ini ialah Kolumnis Filem Mingguan Malaysia, Ali Atan, Aidil Rusli dan Azhar Rudin. Moderator pula ialah Editor Dewan Sastera yang juga penagih filem tegar, Fadhli al-Akiti.

Sejak dari rumah lagi saya membayangkan dialog ini akan dipenuhi oleh pengarah-pengarah filem yang popular sekarang ini. Sebabnya dialog ini sangat kena mengena dengan bidang kerja mereka yang menentukan moral atau tidaknya filem arahan mereka.

Walaupun kata akhir sesebuah filem adalah tauke yang mengeluarkan wang tetapi kalau pengarah tidak mahu mengarah, filem tidak akan wujud. Maknanya pengarah yang kena dibetulkan kalau ada yang tidak betul.

Malangnya tidak ada pengarah-pengarah terutama yang galak membuat filem “tak ketahuan” di pawagam kita. Saya fikir pandangan yang dilontarkan menerusi dialog ini penting untuk mereka renungi. Ini adalah pandangan orang yang masih ambil endah terhadap penyakit dalam filem kita.

Pengarah dan penerbit filem kena akui bahawa sekarang ini banyak yang sudah tidak ambil endah dengan filem tempatan. Sepatutnya orang yang ambil endah ini perlu diberi perhatian untuk membina kembali keruntuhan nilai moral dalam filem kita.

Kepada pengarah-pengarah yang perasan popular sangat di luar sana, keluarlah dari tempurung. Caranya bukan sahaja berebut untuk berjalan atas red carpet festival filem atau Anugerah Skrin TV3, hadirlah di acara-acara yang boleh membantu mereka berkarya.

3 comments:

  1. amboi..tajam dan pedas.. sayangnya, kalau mereka baca post ini kan bagus

    ReplyDelete
  2. DOM acara yg tak glamour..tak ada red carpet..buat apa nak datang?!

    ReplyDelete
  3. Sebenarnya puak-puak itu tak datang lagi baik. Kalau datang buat menyemak saja nak buat apa? Tapi kalau David Teo datang bagus juga kalau-kalau dia jadikan Rumah Pena lokasi filem seram terbaru.

    ReplyDelete