Sunday, January 15, 2012

Selepas Anwar bebas, apa langkah UMNO?

Anwar Ibrahim telah dilepaskan dan dibebaskan oleh mahkamah dari tuduhan jenayah seksual 9 Januari lalu. Sebelum ini tuduhan jenayah seksual itu dikatakan menjadi pembunuh kerjaya politik Anwar yang kini Ketua Pembangkang.

Sebelum ini sejak tercetusnya kes jenayah seksual Anwar, UMNO menggunakan isu moral Anwar untuk membunuh kewibawaan bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Walaupun mahkamah belum memutuskan salah atau tidak Anwar waktu itu, UMNO telah menggunakan mahkamah rakyat untuk menghakimi Anwar.

Sebenarnya selain mahkamah yang fizikal dan peranannya sebagai mahkamah, ada satu lagi mahkamah yang tidak kurang pentingnya untuk mengalih persepsi, mencipta persepsi dan sekaligus mendapat keadilan sosial. Anwar juga menggunakan mahkamah rakyat ini untuk menangkis tuduhan jenayah seksual yang dihadapinya.

Malah menganjurkan kempen 901 yang kemuncaknya pada 9 Januari iaitu hari keputusan penghakiman kes jenayah seksual Anwar. Ini adalah mahkamah rakyat. Kempen ini ialah menggunakan pengaruh mahkamah rakyat untuk membina persepsi Anwar tidak bersalah. Selebihnya membina persepsi bahawa tuduhan jenayah seksual Anwar itu tidak lebih konspirasi politik UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Maknanya tidak boleh hanya mengharapkan mahkamah undang-undang sahaja untuk mencapai kemenangan. Menang di mahkamah undang-undang juga akan kalah di mahkamah rakyat. Malah kalah di mahkamah undang-undang pula boleh saja menang pada pandangan umum di mahkamah rakyat.

Tetapi selepas Anwar dilepas dan dibebaskan, apakah langkah proaktif UMNO untuk mendapat kemenangan di mahkamah rakyat? Di mahkamah undang-undang UMNO yakni kerajaan telah kalah. Tetapi masih boleh mencapai kemenangan di mahkamah rakyat seperti mana Anwar bersedia untuk menang di mahkamah rakyat sekiranya dia didapati bersalah di mahkamah undang-undang.

UMNO seperti hilang punca apabila sebelum ini terlalu yakin Anwar akan didapati bersalah, tiba-tiba dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah undang-undang. Sebenarnya tidak cukup sekadar mengatakan kemenangan Anwar itu bukti badan kehakiman kita bebas dari pengaruh politik. Kenyataan begini dalam kata lain membawa maksud Anwar memang tidak bersalah, sebab itu dia dilepas dan dibebaskan.

Tetapi sebenarnya bukanlah ini yang dimahukan oleh UMNO dan BN. Mendakwa Anwar bukanlah sekadar membuktikan badan kehakiman bebas dari pengaruh politik. Mandakwa Anwar ialah kerana kita yakin dia melakukan jenayah seksual itu. Apabila tidak ada suatu tindakan proaktif oleh UMNO dan BN (selain komen yang retorik), UMNO dan BN juga kini kalah di mahkamah rakyat.

Sebaliknya Anwar terus menggunakan mahkamah rakyat apabila sejurus selepas dibebaskan dia berkata pembebasan itu kerana tekanan dari luar negara. Maknanya dia mahu memberitahu rakyat tindakan undang-undang ke atas dia hanya kerana politik bukan disebabkan jenayah seksual itu benar-benar wujud.

Maka UMNO dan BN perlu menang di mahkamah rakyat selepas kalah di mahkamah undang-undang. Caranya mereka kena menangkis strategi Anwar di mahkamah rakyat dan memastikan rakyat tidak memberi kemenangan kepada Anwar. Tetapi UMNO belum berbuat apa-apa.

No comments:

Post a Comment