Thursday, January 12, 2012

Pas, kembalilah pada perjuangan asal

Apabila melihat bagaimana Pas sekarang yang dipacu atau ditunggangi oleh Anwar Ibrahim, eloklah Pas sedar dan kembali kepada perjuangan Islam yang menjadi matlamat asal sejak ditubuhkan. Lihatlah, sekali saja Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bersuara supaya Pas memecat Hassan Ali, Pas akur seolah-olah berada bawah kongkongan PKR @ Anwar Ibrahim.

Pas sebuah parti yang kuat. Kerana kuat maka Pas tidak memerlukan parti ini menyekutukan diri dengan PKR yang liberal, sekular dan tidak ada landas perjuangan dan juga dengan DAP yang tidak pernah menggugurkan tentangan terhadap gagasan Negara Islam oleh Pas.

Pas tidak boleh tamak dan bermimpi untuk menawan Putrajaya. Cukuplah mendapat sebuah negeri iaitu Kelantan. Kekuatan Pas di Kelantan sudah terbukti, apa lagi dengan percakaran sesama sendiri UMNO Kelantan. Pas berada dalam zon selesa di Kelantan. Kemenangan Pas di Kelantan tidak disokong oleh PKR dan jauh sekali DAP.

Untuk apakah Pas menggadaikan laras perjuangan asal hanya kerana mahu menggapai kejayaan lebih besar? Malah kejayaan yang digapai itu pula menurunkan darjat Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Bukankah ini hanya merugikan perjuangan silam Pas yang besar hanya kerana mahu menggapai mimpi menawan Putrajaya?

Melihat senario politik sekarang, tanpa menyekutukan diri dengan PKR dan DAP, Pas tidak akan hilang. Malah Pas akan lebih dihormati dan mungkin menjadi alternatif kepada Melayu untuk memilih parti selain UMNO. Sekarang ini memang ada yang tidak "berparti" mahu menyokong Pas kerana kecewa dengan UMNO (dalam banyak isu mengalah kepada MCA dan MIC). Tetapi mereka tidak dapat menerima idealisme PKR dan DAP.

Dengan kemenangan badut bernama Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas menewaskan Nasharuddin Mat Isa, kelihatan orang-orang dalam Pas sendiri sudah terbius dengan sekularisme PKR dan DAP. Mat Sabu tidak layak digandingkan dengan Haji Hadi Awang tetapi kerana lemahnya Pas, mereka pun sama macam PKR dan DAP.

Pas hanya boleh diselamatkan oleh orang Pas sendiri. Caranya dengan berdiri sendiri sebagai Pas bukan Pakatan Rakyat. Pas jangan menjadi seperti gajah, kerana matanya kecil, ia tidak nampak badannya yang besar. Kalau tidak masakan manusia yang jauh lebih kecil boleh menjadi gembala kepada gajah?

Pas mesti memikirkan biarlah tidak menjadi pemerintah negara (kononnya kalau Pakatan Rakyat menang PRU 13), asalkan perjuangan tidak hilang. Apalah ertinya Pas kalau tidak ada laras perjuangan. Pas lebih mulia kalau sanggup tewas kerana menjaga prinsip daripada menang tetapi menggadaikan prinsip.


No comments:

Post a Comment