Thursday, January 12, 2012

Jamil Khir kena jawab, bukan bersilat

Berita pada 31 Disember 2011:

SEPANG 31 Dis. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, dakwaan yang beliau bersama dua yang lain menggunakan wang zakat bagi pembayaran kos guaman adalah satu bentuk kezaliman dan kekejaman pelaporan berita yang tidak sepatutnya berlaku.

Menurutnya, laporan seperti itu bertujuan melahirkan satu persepsi bahawa pihak kerajaan dan menterinya selalu melakukan penyelewengan dana rakyat, termasuk wang zakat.

”Saya lihat apa yang penting bagi mereka adalah menimbulkan persepsi. Rakyat yang membaca akhbar hari ini, tidak baca keesokan harinya untuk penjelasan maka, sudah terlekat satu persepsi buruk kepada mereka yang terbabit.

”Dalam hal seperti ini pihak pembangkang terlalu banyak memainkan isu yang pada saya bukanlah lagi isu pokoknya sebaliknya ia dipolitikkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dr. Muhammad Yamin Ismail.

Sebelum ini, akhbar pembangkang melaporkan berlaku penyelewengan wang zakat membabitkan tiga responden iaitu beliau, Che Mat dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain dalam kes tuntutan qazaf Ali Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan itu mengatakan, Laporan Audit Negara mengesahkan sebanyak RM63,650 telah dikeluarkan daripada dana zakat MAIWP bagi mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk ketiga-tiga mereka.

SEMENTARA ITU

Berita pada hari ini (12 Jan 2012) Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, penggunaan wang zakat bukan penyalahgunaan kuasa kerana perbelanjaan tersebut dibenarkan mengikut mengikut Asnaf Fisabillah.

Komen saya:

Pertama, apa yang saya faham dari berita pertama di atas, Jamil Khir telah difitnah oleh pembangkang mengatakan dia dan kuncu-kuncunya menggunakan duit zakat untuk bayar yuran guaman. Katanya, pembangkang hanya mencetuskan satu persepsi penyalahgunaan wang zakat dan isu ini telah dipolitikkan. Bagi saya bukan dipolitikkan tetapi Jamil Khir tidak menjelaskan apa yang menjadi isu. Isunya menggunakan wang zakat untuk bayar yuran guaman. Kenapa Jamil Khir tidak menjawab ya? Ini kerana mengikut mufti itu tidak menyalahi undang-undang.

Kedua, saya lebih percaya laporan Ketua Audit Negara mengenai duit zakat yang dikeluarkan untuk bayar yuran guaman. Jamil Khir kena jawab isu laporan Ketua Audit Negara sama ada benar atau tidak. Setakat ini Jamil Khir tidak menafikan laporan itu dan tidak mengiyakan dia menggunakan duit zakat.

Ketika kita dapat membaca kisah orang Islam yang miskin dan hidup melarat hampir setiap hari di surat khabar dan di televisyen, padahal kutipan zakat melimpah ruah, orang tertanya-tanya di manakan duit zakat digunakan? Fenomena orang Islam yang miskin melarat memberi gambaran wang zakat tidak cukup untuk membantu mereka.

Persoalan saya, adakah Ketua Audit Negara tersilap membuat laporan? Kalau tersilap, Jamil Khir boleh betulkan. Tetapi kenapa tidak dibetulkan? Kerana itu jangan cepat sangat anggap semua perkara termasuk perihal bulan dan bintang ”dipolitikkan”. Yang politik biarlah, tetapi yang betulnya mana? Jamil Khir kena menafikan dia dan kuncu-kuncunya guna duit zakat. Kalau setakat menggunakan mufti untuk menyelamatkan diri, dialah yang menjadi liabiliti kepada kerajaan.

Walaupun dibenarkan oleh hukum syarak tetapi menggunakan wang zakat untuk bayar yuran guaman tidak patut berlaku. Kalau buat juga jangan salahkan puak itu dan puak ini buat persepsi.

No comments:

Post a Comment