Monday, January 9, 2012

Nak tangkap ayam, dapat bau tahi

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim telah dibebas dan dilepaskan dari tuduhan meliwat pembantu peribadinya, Saiful tiga tahun lalu. Kita tentu dapat bayangkan berapa banyak wang rakyat dihabiskan untuk kes yang selalu tertangguh-tangguh begitu lama.

Kita juga tentunya tahu bahawa kes ini sangat memalukan orang Melayu dan budaya politik Melayu. Liputan yang meluas terhadap kes ini sebenarnya memberi gambaran kepada orang lain tentang perangai buruk orang Melayu.

Ini satu pengajaran kepada UMNO dan juga Barisan Nasional. Inilah seperti kata orang tua-tua, nak tangkap ayam tetapi hanya dapat bau tahinya. Membuat sesuatu kerja dengan perasaan bukan fikiran.

Kalau tidak cukup bukti, kenapa perlu tergesa-gesa dibawa ke mahkamah? Sekarang semua ini memberi malu kepada UMNO yang begitu banyak bersorak. Maka yang kelihatan dalam kes ini pihak pendakwaan kita sangat lemah dan pasukan pembelaan kelihatan berpengalaman.

Sekarang kita kenalah mengangguk apabila Anwar kata dia dibebaskan kerana tidak bersalah. Sama ada betul atau tidak, bukan soalnya. Soalnya Anwar telah mendapat lesen rasmi yang mengatakan dia tidak bersalah. Adakah kita hendak kata mahkamah silap membuat penghakiman?

Keputusan hari ini akan digunakan dalam kempen Pilihan Raya Umum 13 nanti. Ia memberi banyak faedah politik kepada pembangkang dan seolah-olah mengesahkan bahawa tuduhan itu adalah “perangkap” UMNO. Tentu sukar untuk UMNO menepis apabila mahkamah akhirnya membebaskan Anwar.

Walaupun Anwar dibebas dan dilepaskan bukan kerana tidak bersalah tetapi bukti pendakwaan yang tidak kukuh, rakyat hanya akan diberitahu oleh pembangkang bahawa “Anwar tidak bersalah”. Ini kerana berapa kerat sangat yang tahu hal undang-undang dan dapat membezakan antara “dibebaskan” dengan “tidak bersalah”.

Pembangkang mesti dikalahkan kerana tidak akan membawa kesejahteraan kepada rakyat, tidak berani bertegas tentang Islam dan orang Melayu akan menjadi melukut di tepi gantang. Tetapi siapa lagi selain UMNO? Kalau nak pilih Pas, samalah dengan pilih DAP yang lagi bangsat. Hendak tak hendak kenalah juga memilih UMNO kerana tidak ada lain lagi yang lebih baik. UMNO kena ingat itu. Maka mana-mana yang menjadi liabiliti kepada UMNO eloklah awal-awal lagi ditendang keluar. Orang Melayu masih sayangkan UMNO tetapi kalau UMNO toleran dengan perkara-perkara tidak sepatutnya, susahlah.

1 comment:

  1. keputusan ini adalah kemenangan kepada BN sebenarnya..Rakyat akan mula sedar yang anwar ibrahim adalah penipu besar kerana selama ini dia ke hulu ke hilir mendakwa kes ini adalah konspirasi BN/UMNO, dan beliau akan didapati bersalah. Kelihatan beliau tidak terlalu gembira dengan keputusan ini...

    ReplyDelete