Tuesday, January 17, 2012

Filem pembentuk budaya tinggi

Petikan Utusan Malaysia 16 Januari 2012

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

FILEM merupakan satu-satunya karya seni yang paling berpengaruh. Sejak dicipta oleh Lumiere pada 1896 dan melepasi seabad kemudiannya, filem boleh dimanfaatkan oleh pelbagai perkara; politik, sosial dan budaya.

Iran, sebuah negara Islam yang digeruni Amerika Syarikat (AS) menggunakan filem untuk membentuk budaya tinggi kalangan masyarakat. Iran menutup pintu kepada filem Barat khususnya Hollywood. Tetapi tidak bermakna tanpa filem Hollywood, Iran menjadi mundur. Malah filem Iran dihormati dalam dan juga di luar negara.

Maka di mana-mana negara sekalipun filem mesti dimanfaatkan untuk membentuk budaya tinggi, mengekang kekotoran sosial seperti seks bebas, gay dan lesbians menular dalam masyarakat. Pengaruh filem yang sangat luar biasa juga menjadi sebab diberi tanggungjawab melampaui sumbangan ekonomi semata-mata.

Masyarakat berbudaya tinggi bukan sahaja akan dihormati malah dengan sendirinya menolak kekotoran yang dibawa oleh penjajahan Hollywood ke negara ini. Sebenarnya banyak filem dari negara lain yang lebih berbudaya tinggi. Tetapi Hollywood terlebih dahulu menjajah pasaran filem di negara ini. Maka Hollywood sahaja yang kita tahu.

Difahamkan sebanyak 70 filem tempatan menunggu giliran untuk ditayangkan tahun ini. Tahun lalu separuh daripada jumlah ini tetapi mencatatkan kutipan RM100 juta. Bermakna tahun ini kutipan lebih tinggi sekali gus meningkatkan sumbangan filem kepada ekonomi. Tetapi masa yang sama filem tempatan perlu ditanya sumbangan dalam membentuk budaya.

Dalam mendepani isu sosial yang tenat, filem tempatan mesti tampil dengan gagasan budaya tinggi untuk menolak segala kekotoran dan hedonisme ini. Filem tempatan mesti menjana budaya tinggi kerana dengan cara itu sahaja kekotoran sosial boleh dikekang daripada bertapak dan merebak.

Mengekang kecelaruan sosial tidak semestinya membuat filem mengenainya. Menentang penularan gay bukanlah dengan membuat filem tentang gay, kononnya menyuntik sisi buruk gejala gay itu. Menyedarkan mat rempit bukan memberikan sebuah filem khusus tentang mereka sekali gus mempromosikan mat rempit.

Filem kita lebih bercerita tetapi bukan menyuntikkan wacana. Pembuat filem bercerita tentang gay, lesbians, pengkid dan sebagainya tetapi tidak menyuntik wacana dalamnya. Atau lebih parah lagi mendorong masyarakat menumpahkan simpati kepada golongan ini.

Maknanya jumlah filem dihasilkan dan kutipannya bukanlah penanda aras kejayaan kecuali mampu membentuk budaya tinggi kepada masyarakat. Untuk apa Malaysia menjadi pusat industri filem terbesar kalau ia hanya ejen kepada penularan kekotoran sosial dari Barat? Maka kita ada tanggungjawab untuk tidak terperangkap menyokong filem berbudaya rendah. Sebabnya dalam teori kepenggunaan, pengguna ada kuasa menentukannya. Ayuh, kita buktikan.


2 comments:

  1. pengguna/penonton yg perlu dididik dgn menyajikan filem-filem yg berbudaya tinggi...bukan pembikin filem yg perlu mengikut selera pengguna/penonton (spt yg diulang2 oleh pembikin dangkal yg kononnya mahu menyampaikan mesej..tapi sebenarnya hanya memikirkan untung ke kantungnya!)

    ReplyDelete
  2. sejauh mana nilai wacana ini akan diterapkan oleh penggiat filem tempatan? saya percaya angka 100 juta boleh diinjakkan kepada 10 billion dalam tempoh 5 tahun. maka pihak kerajaan harap-harap baca entri ini dan mengkaji lagi pemberian modal serta perbanyakkan bengkel dan kajian terhadap menelusi minda-minda penggiat ini untuk memurnikan wacana yang saudara cernakan.. yang paling penting, jangan politikkan industri.

    ReplyDelete