Tuesday, January 17, 2012

Angkara Mossad dan CIA

Petikan: Mingguan Malaysia 15 Jan. 2012

Angkara Mossad dan CIA

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Pembunuhan saintis nuklear Iran, Mostafa Ahmadi-roshan dengan bom magnet di keretanya Rabu lalu ada kaitan dengan ketegangan hubungan diplomatik Iran - Amerika Syarikat (AS) ketika ini. Ini kerana Presiden Barack Obama kembali mengenakan tekanan kepada Iran berhubung pelan pembangunan tenaga nuklear Iran.

Menjelang tahun baru yang lalu, Obama mengumumkan sekatan kepada semua institusi kewangan AS daripada berurusan dengan bank pusat di Iran. Ini salah satu bentuk tekanan ekonomi yang dilakukan sendiri oleh AS tanpa penglibatan Majlis Keselamatan PBB. Tidak cukup dengan itu AS menerusi Setiausaha Perbendaharaan, Timothy Geithner semasa mengunjungi Naib Presiden China, Xi Jinping turut mendesak China mengenakan sekatan atas Iran. Ini kerana China antara negara kuasa besar anggota Majlis Keselamatan PBB yang menyokong resolusi menghalang pelan nuklear Iran.

Tetapi China mempunyai pertimbangan lain. Memandangkan China menjadi negara guna tenaga terbesar di dunia, China memerlukan Iran. Ini kerana Iran menyumbang sebanyak 11 peratus import minyak China atau 600,000 tong sehari pada November lalu. Jumlah ini adalah satu pertiga daripada eksport minyak Iran yang berjumlah 2.2 juta tong sehari. Kerana itu AS terpaksa mencari cara lain untuk memberikan tekanan kepada Iran.

Kempen AS itu supaya dikenakan sekatan ekonomi ke atas dijangka akan mempengaruhi pemimpin-pemimpin negara Kesatuan Eropah (EU) yang akan bermesyuarat 23 Januari ini. Mesyuarat itu dijangka bersetuju mengadakan sekatan daripada membeli minyak Iran. Iran adalah pengeksport minyak kedua terbesar dan menganggotai Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Minyak (OPEC).

AS sejak rejim bekas Presiden George W. Bush lagi mahu mengenakan tekanan kepada Iran, selepas berjaya meruntuhkan Iraq dengan dakwaan palsu memiliki senjata nuklear. Kerana itu pembunuhan saintis nuklear Iran ini lebih menjurus kepada penglibatan AS menerusi Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan agensi perisikan Israel, Mosaad.

Ini adalah pembunuhan keempat saintis Iran sejak 2010. Pada 12 Januari 2010, saintis nuklear Massoud Ali-Mohammadi dibunuh dengan bom magnet kawalan jauh di depan rumahnya di Tehran. Pada 29 November 2010, saintis nuklear Majid Shahriyari terbunuh dan isterinya cedera parah dalam serangan bom. Pada 23 Julai 2011, saintis Darioush Rezal yang berusia 35 tahun ditembak mati oleh seorang yang tidak dikenali di Tehran.

Semua pembunuhan ini mempunyai bukti kukuh penglibatan CIA dan Mossad. Banyak teori menjurus kepada sabotaj membantutkan pelan pembangunan nuklear Iran. Malah ini selari dengan tekanan AS kepada Iran dan kebimbangan Israel terhadap pelan nuklear Iran. Buktinya semua mangsa pembunuhan itu adalah saintis yang mempunyai hubungan dengan nuklear Iran.

Teori konspirasi ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan pemimpin tertinggi tentera Israel bahawa, "Iran kena menerima perkara-perkara yang tidak dijangka pada 2012." Dalam kemelut politik Asia Barat, kini hanya ada Iran yang mengekang penguasaan Israel selepas Iraq tumpas kepada AS 2003. Iran juga menjadi faktor penentu penghalang penguasaan dan penyusunan semula politik Asia Barat oleh AS.

Konspirasi penglibatan AS dan Israel disokong oleh pendedahan majalah TIME bahawa sumber perisikan mengakui pembunuhan terbaru itu dilakukan oleh Mossad. TIME turut mendedahkan seorang pegawai kanan Israel menjerit gembira ketika kejadian itu, "Yeah...seorang lagi. Saya tidak bersedih apa yang berlaku kepada dia."

Tahun lalu stesen televisyen Iran menyiarkan pengakuan seorang agen perisikan Mossad, Majid Jamali Fashi yang bertanggungjawab membunuh saintis Massoud Ali Mohammadi. Dia mengaku melihat sendiri model rumah dan kawasan laman saintis Iran itu di ibu pejabat Mossad di Tel Aviv. Majid dijatuhkan hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh Massoud pada 12 Januari 2010.

Modus operandi pembunuhan Mostafa sama dengan pembunuhan dua saintis Iran sebelum ini iaitu menggunakan bom magnet. Kesemua mangsa adalah saintis yang merupakan orang penting dalam pelan nuklear itu.

Ini mempunyai persamaan dengan modus operandi Mossad membunuh saintis Jerman yang membangunkan peluru berpandu di Mesir tahun 1960-an dan 1970-an. Sebagai balasan, pejuang Palestin melancarkan serangan komando dan membunuh 11 atlet Israel di Sukan Olimpik 1972 di Munich.

Cara pembunuhan yang sama juga dilakukan Mossad terhadap saintis Mesir dan Kanada yang berkerja dengan program nuklear dan peluru berpandu Iraq semasa rejim Saddam Hussein. Begitu juga cara Mossad menyerang dan membunuh pemimpin Hamas, Mahmoud al-Mabhouh di hotel penginapannya di Dubai pada 2010.

Kenyataan pakar keselamatan, Theodore Karasik dari Gulf Military Analysis bahawa selain perang konvensional, Barat dan sekutunya juga melancarkan perang taktik untuk mengekang pelan nuklear Iran menguatkan teori penglibatan AS dan Israel.

Agensi berita Associated Press pula pernah membocorkan laporan mesyuarat tertutup Jawatankuasa Pertahanan dan Hubungan Luar Negara Israel baru-baru ini di mana Leftenan Jeneral Benny Gantz berkata, "2012 adalah tahun kritikal bagi Iran". Ini merujuk kepada perang taktikal untuk menghalang pembangunan pelan nuklear Iran.

Walaupun pentadbiran Obama dan Israel menafikan terlibat dalam pembunuhan kali ini tetapi hujah mereka sangat nipis. Apakah kita tidak percaya AS dan Israel boleh membunuh saintis Iran sedangkan mereka telah membunuh jutaan orang awam di Palestin dan Iraq?

Tetapi tindakan radikal Mossad dan CIA tidak memberi kesan kepada ketegasan Iran membangunkan pelan nuklear. Sebaliknya insiden terbaru ini menyukarkan AS membebaskan n seorang anggota marinnya yang mendepani hukuman mati di Iran kerana kesalahan mengintip.

No comments:

Post a Comment