Sunday, December 4, 2011

Siapa calon tak boleh menang?

Antara yang menarik ditimbulkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2011 baru-baru ini ialah calon yang boleh menang. Tetapi Presiden UMNO, Najib Razak menggunakan istilah “vinnable candidate”. Tidak apalah kerana yang penting kedua-dua istilah dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu membawa maksud pilih calon yang boleh membawa kemenangan kepada parti (UMNO) dalam Pilihan Raya Umum ke 13 tidak lama lagi.

Saya sangat tertarik dengan tumpuan yang akan diberikan kepada pemilihan calon yang bermutu. Sebelum tsunami menumbangkan lima negeri termasuk Kelantan yang sudah berakar tunjang ke tangan pembangkang, kriteria calon jarang diberi perhatian. Ini kerana ketika itu zaman kegemilangan UMNO. Hingga ada yang berkata, di beberapa negeri kalau letak tunggul kayu diberi selimut logo Barisan Nasional pun boleh menang.

Zon selesa sebelum 2008 ini membuatkan banyak calon tidak menepati kriteria dan tidak bermutu. Tetapi yang menjadi masalah apabila yang tidak bermutu ini menang dalam pilihan raya. Kita menerima hakikat, keselesaan melampau dulu yang membawa bala kepada UMNO hari ini. Kerana yakin boleh memang dengan mudah, UMNO meletak calon-calon yang kuat mengampu dan mengipas sama ada peringkat Adun atau Parlimen.

Tetapi kini apabila UMNO berada di garisan kritikal, perihal calon mula diberi perhatian. Kalau kita lihat, dalam PRU sebelum ini banyak yang tidak layak dipilih sebagai calon. Tetapi kerana kabel mereka kuat, akhirnya terpilih juga. Apabila menang mereka buat angkara, timbullah gejala rasuah yang kini menjadi “tanda niaga” UMNO.

Politik adalah persepsi. Kalau UMNO tidak mahu mengakui bahawa persepsi menjadi tunggak dalam politik, eloklah mereka yang beranggapan begitu bersara dari politik. Maka apabila naik nama calon yang mempunyai rekod tidak bersih tidak kiralah mengamal politik wang atau apa, mereka ini mesti dikeluarkan dengan segera. Kalau dipertahankan juga dan dipilih sebagai calon, akan timbil persepsi UMNO tidak membendung rasuah.

Calon-calon begini adalah kudis kepada parti. Sebab itu Dr. Mahathir mengambil pendekatan perubatan iaitu membuang kudis ini dari terus merebak. Lihatlah bagaimana bekas Menteri Besar Selangor terpaksa meletak jawatan, bekas Menteri Besar Kedah, Osman Arof juga meletak jawatan, bekas Menteri Besar Selangor Abu Hassan Omar juga meletak jawatan. Kalau Mahathir masih jadi Perdana Menteri, Khir Toyo pun akan melalui nasib yang sama.

Siapa calon yang tidak boleh menang? Mereka adalah calon yang kalah dalam PRU 12, yang dikaitkan dengan rasuah, yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana politik wang. Cukuplah UMNO tidak menghormati pilihan rakyat apabila melantik calon yang kalah ke jawatan tertinggi seperti menteri atau timbalan menteri. Memanglah itu hak Perdana Menteri untuk melantik mereka sebagai Senator kemudian diberi jawatan. Tetapi di sudut moralnya ini menafikan pilihan rakyat. Mereka kalah bermakna rakyat menolak mereka, kemudian dilantik pula jadi menteri. Ini demokrasi apa kejadahnya?

Apabila Najib bercakap mengenai tumpuan kepada calon yang boleh menang, bab ini tidak banyak yang beri komen. Sebabnya sebahagian besar memang berhasrat menjadi calon. Setakat ini hanya bekas Menteri Besar Terengganu, Idris Jusuh saja yang mengumumkan tidak bertanding pada PRU 13.

Maknanya yang lain memang hendak bertanding walaupun mereka tahu bukan calon yang boleh menang. Takkanlah Idris Jusuh seorang sahaja yang secara sukarela memberi laluan kepada calon lain? Ini adalah warna sebenar di sebalik gegak gempita perhimpunan kali ini.

Persoalannya sejauh manakah Najib akan mengotakan janjinya memilih calon yang boleh menang sahaja pada PRU 13? Semuanya di tangan Najib. Biarlah mengampu atau mengipas sehebat mana sekalipun, kalau Najib berpegang kepada yang dikatakan itu, calon yang dipilih adalah faktor kelayakan, bukan sebab-sebab lain. Apabila semua tidak bercakap mengenai memberi laluan kepada calon lain, ini tentunya memeningkan Najib. Semua ini kalau boleh tidak hendak lepas kerusi masing-masing.

1 comment:

  1. masalahnya, `kalau Datuk Sri tak pilih saya,seluruh jentera dan penyokong saya akan boikot calon lain pilihan Datuk Sri itu, seterusnya memberi kemenangan kepada parti lawan`... Inilah lagi satu kudis dalam politik kita, bro....:(

    ReplyDelete