Saturday, December 10, 2011

Hedonisme dalam dunia hiburan

BIDANG hiburan yang tidak disokong dengan kemantapan seni dan falsafah keseniannya menjadi pemangkin menularnya fahaman hedonisme dalam kalangan masyarakat. Sebahagian besar pengamal hiburan di negara ini tidak dapat membezakan antara seni dan hedonisme. Mereka pun menganggap semua yang dilakukan dalam dunia hiburan itu sebagai seni, hakikatnya lebih menjurus kepada fahaman hedonisme.

Apa itu hedonisme? Secara umumnya hedonisme diambil dari bahasa Yunani, hedonismos yang bermaksud “kesenangan”. Hedonisme muncul pada sekitar tahun 433 sebelum masihi yang memperjuangkan fahaman bahawa matlamat hidup manusia adalah kesenangan dan hiburan.

Ini boleh dilihat daripada sekian banyak konsert hiburan terbuka khususnya di Kuala Lumpur dan persembahan rancangan hiburan di televisyen. Hampir semua mempromosi gaya hidup yang menjurus ke arah hiburan kosong. Boleh dilihat juga gaya dan reaksi penonton di depan pentas yang digambarkan terlalu asyik hingga seperti kena sawan. Sebahagian besar daripada rancangan hiburan di televisyen membawa kepada keruntuhan nilai peribadi remaja. Ini kerana kesimpulan daripada rancangan itu menjurus kepada mencari hiburan tetapi bukan hidup yang bermatlamat.

Hedonisme mempromosi gaya hidup yang melanggar tata susila budaya dan garis agama. Ia tidak ada kena mengena dengan seni tetapi dikelirukan bahawa yang menghiburkan itu semuanya seni. Ini adalah gejala neokolonialisme yang disasarkan kepada generasi muda yang rata-rata menjadi pengagum budaya popular. Kesannya cukup serius apabila perkara-perkara yang melampaui batas susila dan agama dianggap “biasa”.

Hedonisme memperkenal dan mempopularkan pergaulan bebas, seks luar nikah, tuntutan hiburan yang melampau dan banyak lagi. Semua ciri-ciri ini ditonjolkan sebagai satu gaya hidup. Dengan lesen kononnya begitulah “budaya” kehidupan orang seni, mereka ini sebenarnya menjadi perosak seni.

Beza antara hedonisme dan seni ialah seni menyuburkan pemikiran tinggi, hidup penuh dengan tata susila dan tidak melanggar batas agama. Tetapi hedonisme bertentangan dengan kehidupan berbudaya dan beragama.

Malangnya inilah yang menjadi ciri-ciri utama dalam bidang hiburan. Dalam seni tidak ada kelonggaran untuk menongkah batas budaya dan agama. Dalam hedonisme, pengarah filem boleh mewajarkan adegan ranjang semata-mata untuk menyampaikan saranan “kebaikan”.

Sebab itulah di negara kita pengarah yang gemar membuat adegan ranjang bukan sahaja tidak pernah ditegur malah dipuji kerana tinggi “seni“nya. Pelakon yang sanggup melakukan adegan itu pula disanjung kerana “keberkesanan” lakonannya. Tidak ada yang mempersoalkan pelakon atau pengarah kenapa mementingkan hedonisme dan tidak batas susila dan agama. Masyarakat seolah-olah telah menerima adegan ranjang (sebenarnya tidak perlu pun) dan menjadi begitu liberal hanya memperkatakan tentang lakonan (kononnya).

Lihatlah masyarakat tidak mempersoalkan kesanggupan Maya Karin melakonkan adegan ranjang dalam filem Ombak Rindu. Sebaliknya mereka memuji keberkesanan lakonannya. Apakah kalau tidak berani membuat babak ranjang lakonan Maya tidak hebat? Tetapi kerana fahaman hedonisme meresap dan liberal melekat di fikiran, masyarakat tidak nampak lagi “keluarbiasaan” Maya berlakon adegan ranjang. (Sila baca kritikan Ali Atan mengenai Ombak Rindu dalam Pancaindera Mingguan Malaysia 11 Dis. 2011).

Kerana itu dunia hiburan tempatan mesti dibentuk semula. Jangan sama sekali membiarkan istilah “seni” diperalatkan untuk memangkin hedonisme. Barat telah lama sedar hedonisme meruntuhkan peradaban manusia dan kini mereka kembali kepada kepada kehidupan berbudaya melalui penghayatan seni.

Di sebalik kisah gila-gila Lady Gaga, Barat mengungguli sastera, lukisan, teater dan muzik. Tetapi di sebalik gila-gila dunia hiburan kita, selainnya apa yang ada? Mujurlah TV AlHijrah memperkenalkan satu kod etika dalam hiburan. Tetapi peliknya banyak yang menganggap itu tidak masuk akal sebabnya akal mereka telah tepu dengan hedonisme.

Apa yang diharapkan TV AlHijrah tidak cair atau tewas dengan desakan dan gelombang liberalisme dunia penyiaran negara ini yang mempromosi hedonisme untuk mencari keuntungan. Malah diharapkan TV AlHijrah juga tidak tunduk kepada mana-mana pemimpin atau menteri yang mahu membuka ruang liberalisme di stesen ini. Ada sesetengah menteri kita sanggup melakukan perbuatan terkutuk ini hanya kerana politik mereka.

2 comments:

  1. Assalamualaikum Tuan, Entri ini antara yang paling menarik perhatian saya. Mengenai hedonisme dan relasi dengan hiburan yang berpisah tiada. Terima kasih kerana berkongsi, membolehkan kami membaca dan menginsafi supaya dapat diteladani. Saya juga sebetulnya ada membuat rebiu ringkas tak berilmiah (atau sekadar picisan sahaja) tentang kritikan Tuan Ali Atan. Tetapi ia sekadar sebuah rebiu yang malu untuk dikongsi bersama.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Siti. Semoga kita sama-sama saling menyedarkan antara satu dengan yang lain tentang racun yang dibawa masuk menerusi hiburan ke negara ini.

    ReplyDelete