Thursday, December 1, 2011

Datuk Bandar Kuala Lumpur.....

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Lebih 60 peratus kerosakan jalan yang banyak berlaku di bandar raya Kuala Lumpur dikenal pasti berpunca daripada kerja-kerja pengorekan oleh syarikat utiliti bagi tujuan pemasangan kabel bawah tanah.

Mendedahkan perkara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, kerja-kerja pengorekan tanpa penurapan yang baik boleh mengakibatkan jalan menjadi mendap, beralun dan berlubang.

Bagi mengelak keadaan itu terus berlaku, jelasnya, syarikat-syarikat utiliti berkenaan seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Telekom dan syarikat telekomunikasi lain disaran menggunakan teknologi Horizontal Directional Drilling (HDD) bagi tujuan pemasangan kabel tanpa mengorek jalan.

''Bagaimanapun penggunaan teknologi ini memakan kos tinggi sehingga tiga kali ganda daripada biasa. Hanya Syarikat Gas Malaysia Berhad yang mengaplikasikan teknologi ini bagi mengurangkan kerosakan jalan akibat kerja-kerja pengorekan yang dijalankan,'' katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Laporan Khas akhbar ini dua hari lalu mendedahkan masalah jalan rosak, berlubang dan tidak berkualiti di sekitar ibu kota terus berlaku tanpa ada kesudahan. Kerja penurapan jalan juga tidak ubah seperti kain perca apabila jalan ditampal tidak sempurna dan kelihatan daif.

Ahmad Fuad bagaimanapun kecewa dengan laporan terbabit apabila menafikan gambar-gambar jalan rosak yang disiarkan adalah bukan di Kuala Lumpur.

''Saya akui bahawa jalan-jalan di Kuala Lumpur banyak rosak dan perlu dibaiki. Tetapi saya tengok (melalui gambar yang disiarkan) ada di antara jalan dan tempat letak kereta bukan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

''Kalau tulis berita tidak betul adalah fitnah,'' tegasnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fuad berkata, kebanyakan kerja-kerja pengorekan dibuat tanpa pengetahuan dan pemberitahuan kerana ia dijalankan pada waktu malam.

Katanya, biarpun segala syarat dan garis panduan ditetapkan kepada pihak mereka, namun ia sekadar 'di atas kertas'.

Ini kerana, katanya, di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, kesalahan mengorek jalan tanpa kelulusan atau tidak menurap kembali jalan dengan baik hanya akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.

''Kita tidak boleh halang mereka untuk mengorek jalan bagi pemasangan kabel kerana kita tidak mahu dipersalahkan pula oleh orang ramai akibat tidak dapat bekalan air atau elektrik kerana DBKL tidak benarkan mengorek jalan.

''Sebab itu kita berharap sangat mereka dapat menggunakan teknologi HDD biarpun membuat bayaran deposit untuk kerja penurapan,'' katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fuad menjelaskan, antara punca lain yang turut menyumbang kepada kerosakan jalan adalah disebabkan tumpahan minyak diesel dan konkrit selain aktiviti pembangunan di sekitarnya.

''Sepanjang tahun ini sebanyak 37 jalan utama telah siap dibaik pulih dan diturap semula, 10 jalan utama dalam pelaksanaan dan dua jalan utama dalam proses pelantikan kontraktor,'' katanya. (PETIKAN UTUSAN MALAYSIA 1 DISEMBER 2011)

Komen saya:

Ini menunjukkan Datuk Bandar Kuala Lumpur tak secerdik kontraktor. Kontraktor tahu DBKL hanya kerja siang saja, mereka korek waktu malam. Mereka tahu Kuala Lumpur boleh Datuk Bandar yang tidur. Kalau begitu polis pun boleh salahkan penyamun atau perompak melakukan kerja merompak waktu malam, waktu orang tidur. Kalau dah tahu kontraktor buat kerja kotor waktu malam, pantaulah.

Takkan yang itu pun kena diajar? Pandai pula kata syarat hanya di atas kertas. Siapa yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang kalau bukan DBKL? Takkan nak lepas tangan saja? DBKL sangat aktif menyita segala macam gerai tepi jalan dengan menggunakan undang-undang. Kenapa tak menggunakan undang-undang untuk mengajar kontraktor? Adakah tuan punya gerai tak ada pengaruh dan kontraktor pula ada pengaruh? Kalau di Jepun Datuk Bandar macam ini dah letak jawatan kerana tak mampu menjalankan tanggungjawab waima hanya berdepan dengan kontraktor.


2 comments:

  1. saya setuju.. harap banyak lagi update blog kurang2 seminggu sekali, cetusan pandangan tuan membuka minda sedikit sebanyak.. boleh saya syorkan blog ini untuk golongan muda supaya buka mata, takdalah asyik cari pembangkang hentam kromo

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana memberi cadangan bernas, saya akan cuba up date sekerap mungkin.

    ReplyDelete