Monday, December 12, 2011

Bersungguh-sungguhlah pilih calon yang bersih

Selepas Perdana Menteri Najib Razak berkata UMNO hanya akan memilih calon yang boleh menang sahaja dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13), maka sekarang ini di mana-mana orang bercakap tentang perkara ini. Daripada apa yang ditegaskan Najib, kriteria calon yang boleh menang ialah yang bersih, tidak dikaitkan dengan rasuah, penyelewengan dan politik wang semasa pemilihan jawatan dalam UMNO.

Kalau calon yang boleh menang sahaja mungkin tidak sukar untuk dicari. Tetapi apabila ada kriteria tertentu, agaknya daripada Ahli Parlimen dan Adun sekarang ini berapa orang sahaja yang tinggal sebagai “bersih”. Di peringkat menteri, timbalan menteri, setiausaha politik dan setiausaha parlimen pula, agaknya siapa sahaja yang tinggal?

Najib memberi isyarat awal kepada siapa yang tahu mereka tidak menepati kriteria itu supaya jangan melobi untuk dipilih jadi calon. Harap mereka yang berkenaan faham dan tidak meredah juga apabila mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Perhubungan UMNO di negeri-negeri.

Calon yang boleh menang juga adalah calon yang tidak kalah dalam PRU 12 yang lalu. Kalau dipilih juga, ini bukanlah calon yang boleh menang. Kalau boleh menang tentulah mereka tidak kalah dalam PRU 12.

Kita sama-sama lihat apakah Najib akan terus merestui calon-calon yang tidak menepati kriteria bersih dalam PRU 13. Adakah Najib akan menggugurkan mereka yang didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin kerana politik wang? Kalau mahu tahu seseorang calon itu bersih atau sebaliknya, tanyalah di peringkat akar umbi macam ketua cawangan misalnya. Mereka ini lebih tahu calon mana yang bersih dan boleh menang.

No comments:

Post a Comment