Thursday, December 8, 2011

Akibat terlalu tunduk kepada pembangkang

Kerajaan Barisan Nasional kelihatan sedang ditolak beransur-ansur apabila mengikut telunjuk pembangkang yang mendesak menuntut banyak perkara yang tidak munasabah. Tunduk bererti memberi kemenangan moral kepada pembangkang. Maka pembangkang pun boleh gunakan kejayaan ini sebagai kononnya “perjuangan” membela rakyat.

Tidak pernah berlaku “tolak ansur” yang sebegini hebat dalam kerajaan Barisan Nasional hingga kepada perkara yang melibatkan keselamatan rakyat. Dalam kata lain keselamatan rakyat menjadi pertaruhan untuk meraih undi kalangan pembangkang. Misalnya tidak pernah terlintas di fikiran kita kerajaan akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) . ISA tidak pernah mengacau rakyat, ISA hanya ”mengacau” orang yang buat kacau. Tetapi tahun lalu pembangkang mencetuskan gerakan anti ISA. Maka tertanyalah kita adakah pemansuhan ISA kerana desakan pembangkang?

Sebenarnya ISA tidak wajar dimansuhkan. Majoriti rakyat tidak ada kena mengena dengan ISA selagi ISA tidak dimansuhkan. Tetapi apabila dimansuhkan dan segala penyangak dan penyamun yang bahaya tidak takut lagi ISA, ini memang ada kena mengena secara langsung dengan rakyat. Masa Anwar Ibrahim dalam kerajaan pun tidak pernah mengusulkan pemansuhan ISA padahal dia pernah ditahan bawah ISA. Kenapa selepas keluar kerajaan dia mahu ISA dimansuhkan?

Pembangkang dapat markah apabila desakan mereka berjaya. Selain ISA, antara desakan yang terkandung dalam tuntutan perhimpuan haram 9 Julai lalu ialah menggunakan dakwat dalam pilihan raya. Pada mulanya kerajaan berkeras tidak akan menggunakan dakwat (sistem ketinggalan zaman hanya dibuat di negara dunia ketiga) dan rakyat gembira kerana kerajaan bertegas dalam isu ini.

Kerajaan mempromosikan sistem biometrik yang lebih canggih. Sistem ini juga menelan banyak belanja tetapi tidak mengapa kerana ia diyakini boleh menghalang permainan kotor dalam sistem pengundian. Bukan main lagi kerajaan mempromosikan biometrik tetapi akhirnya kalah kepada promosi pembangkang supaya menggunakan dakwat. Apa sudah jadi dengan kerajaan Barisan Nasional? Ini menunjukkan satu lagi kejayaan pembangkang sekaligus perhimpunan haram 9 Julai.

Apabila kerajaan terlalu tunduk kepada desakan ini bermakna untuk mendapat sesuatu rakyat mesti mendesak dan membelakangkan undang-undang. Kerajaan tidak boleh cakap banyak lagi apabila ternyata hasil perhimpunan haram dan salah di sisi undang-undang telah mendapat pengiktirafan kerajaan.

Rakyat yang menyokong Barisan Nasional bukan memerlukan pemimpin yang cakapnya berdegar-degar, tetapi akhirnya tunduk kepada desakan yang tidak munasabah pembangkang. Rakyat mahu pemimpin yang tegas. Kalau dakwat tidak boleh digunakan, pertahankan sampai bila-bila. Apabila kerajaan tunduk, ini bermakna kerajaan sendiri tidak yakin dengan sistem biometrik. Ini mengecewakan rakyat apabila kerajaan kalah dalam menyakinkan rakyat tentang sistem biometrik.

Percayalah selepas ini banyak lagi yang pembangkang tuntut dan mereka akan mendapat kejayaan selagi kerajaan tidak memperlihatkan pendirian tegas terhadap sesuatu tindakan. Kerajaan kata jangan buat perhimpunan haram, pembangkang buat juga dan mereka berjaya kerana tidak ada apa-apa tindakan oleh kerajaan. Kejayaan berganda apabila yang tuntut dipenuhi oleh kerajaan. Sampai bila desakan yang memberi keuntungan kepada pembangkang terus dipenuhi?



2 comments:

  1. PM nak tunjuk kononnya beliau `sporting`...

    ReplyDelete
  2. tunduk tu tunduklah juga wahai bapak-bapak...asal jangan sampai kepala dipijak...bimbang yang memerhati jadi makin muak...

    ReplyDelete