Monday, September 5, 2011

Tampilkan nama 100 pejuang merdeka


MENCARI seratus nama yang memperjuang kemerdekaan perlu dimulai sekarang. Selepas 54 tahun usia kemerdekaan, sekurang-kurang seratus nama mereka yang berjuang untuk merdeka perlu ditampilkan kepada rakyat.

Sebelum ini Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dilihat sebagai pejuang kemerdekaan. Tetapi sama ada Dato’ Onn atau Tunku, mereka tidak boleh berjuang sendiri tanpa gerakan daripada segenap sudut. Kerana itu sebelum sampai era Dato’ Onn dan Tunku, gerakan memperjuangkan kemerdekaan telah bermula. Golongan ulama, sasterawan dan wartawan sudah berkerja untuk merdeka sejak lebih awal lagi.

Kalau kita mempunyai senarai seratus nama tokoh pejuang kemerdekaan, kita tentu boleh melihat akar dan sejarah kemerdekaan secara lebih menyeluruh dan adil. Dalam perjuangan kemerdekaan, sumbangan golongan berhaluan kiri misalnya tidak boleh dinafikan begitu sahaja. Ini kerana makna kiri ketika itu adalah gerakan penentang kepada penjajahan termasuk penjajah British.

Tokoh seperti Pak Sako, A. Samad Ismail, Said Zahari, Ahmad Boestamam, Syed Sheikh Al Hadi, Burhanuddin Helmi serta banyak tokoh ulama barangkali boleh disenaraikan dalam seratus nama pejuang merdeka. Kecenderungan mengangkat tokoh tertentu seolah-olah kita tidak sedar telah memadam sejarah. Sejarah tetap sejarah.

Ini membuatkan orang bertanya, apa halnya dengan pejuang yang lain? Adakah mereka tidak menyumbang sesuatu dalam perjuangan kemerdekaan sama ada secara langsung atau tidak langsung? Kita lebih melihat acara pengisytiharan kemerdekaan daripada orang yang menggerakkan kemerdekaan di peringkat rakyat. Tiga tokoh wartawan, Pak Sako, A. Samad Ismail dan Said Zahari hampir tidak pernah disebut pada acara mengenang kemerdekaan. Adakah mereka ini langsung tidak berjasa?

Sebenarnya usaha menyenaraikan seratus nama ini adalah langkah supaya tidak wujud kecenderungan memadam sejarah. Ini kerana kita seolah-olah diasuh melupakan perjuangan golongan kiri kerana fahaman politik di luar arus zaman penjajah. Generasi selepas ini perlu tahu sumbangan pejuang kemerdekaan selain Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman. Sekurang-kurangnya kalau kita mempunyai seratus nama, kita akan melihat secara menyeluruh proses perubahan dari aspek sosial dan politik menuju kemerdekaan.

Tetapi kita hanya perlu mencari seratus nama, tidak kira siapa mereka termasuklah Tunku Abdul Rahman. Dalam kata lain, setiap penglibatan mereka menyumbang kepada satu gerakan perjuangan kemerdekaan.

Senarai ini bukanlah bertujuan menafikan sumbangan pihak atau tokoh tertentu tetapi mengingatkan nama-nama yang barang kali asing kerana kealpaan kita. Sejarah kemerdekaan jangan jadi seperti sejarah perfileman Melayu yang banyak nama terpadam kerana memberi laluan kepada P. Ramlee. Dunia perfileman Melayu telah memadamkan banyak tokoh besar dan ini tidak boleh turut berlaku dalam perjuangan kemerdekaan kerana generasi baru mempunyai banyak laluan untuk mengkaji sejarah. Biarlah dunia filem sahaja yang memadamkan nama Hussein Haniff dan Jamil Sulong untuk mengangkat P. Ramlee.


6 comments:

  1. Salam.

    Antara nama besar yang tidak diketahui langsung oleh ahli sejarah ialah Ustaz Wan Ismail Wan Nawang, seorang pakar pemikiran Shah Wali Allah. Beliau seorang pejuang kiri, sahabat Dr. Burhanuddin, Pak Sako, Boestamam dll. Tak mengapa jika namanya tidak layak masuk senarai, tetapi beliau mesti dikenali. Beliau seorang ulama yang menulis kitab Khulasah al-Quran, terbitan Pusat Islam, atas usaha Dato' Mohammed bin Nasir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu. Saya dengan bangga mengakui beliau ialah guru saya yang memberi saya ilham untuk menjana Gagasan Persuratan Baru berasaskan ajaran Shah Wali Allah. Al-Fatihah untuk tokoh besar ini.

    ReplyDelete
  2. Sdr Affandi, terima kasih kerana memberi maklumat berguna kepada saya mengenai tokoh pejuang kemerdekaan.

    ReplyDelete
  3. saya kagum dgn usaha ini..bertahun tahun saya bertanya sendiri...tahniah sedara ku seman

    ReplyDelete
  4. Salam.

    Mat Sabu tunjukkan sebuah buku yang diterbitkan oleh kerajaan Johor yang memasukkan Mat Indra sebagai wira Johor. UMNO pula kata Mat Indra komunis dan pengkhianat. Tapi Shamsiah Fakeh bilang Mat Indra bukan anggota PKM. Adakah ketiga-tiga mereka ini pembohong semuanya? Kalau MB Johor yang beri kata aluan kepada buku itu berbohong, Hishamuddin Hussein mesti haramkan buku itu. Kalau MB betul, Menteri Dalam Negeri mesti akui. Lepas itu, UMNO kena minta maaf kepada rakyat Malaysia kerana berbohong, tarik balik semua laporan polis kerana asasnya pembohongan. Apa yang Mat Sabu kena buat? Dia hanya perlu tertawa saja ... Macam kita semua yang seronok ikuti cerita ini.

    ReplyDelete
  5. Salam saudara,
    Saudara telah mulakan, satu usaha dan saranan yang murni dan jujur...ini langkah kehadapan yang patut dipuji dan disokong sepenuhnya, Tahniah atas usaha saudara.

    ReplyDelete
  6. Terima kasih saudara Jurnal Alam atas komen yang memberangsangkan.

    ReplyDelete