Wednesday, September 21, 2011

ISA jadi umpan PRU 13?

Saya sebenarnya tidak kisah pun sama ada ISA terusk dikekalkan atau dimansuhkan. Saya dan majoriti rakyat tidak ada hubungan dengan ISA. Kerana itu pengumuman pemansuhan ISA bukanlah untuk majoriti rakyat tetapi segelintir sahaja yang mempunyai kecenderungan membuat haru hara. Jadi, pengumuman pemansuhan ISA adalah hadiah kepada puak-puak ini supaya lebih bebas membuat haru hara pada masa depan.

Apabila sampai ke peringkat ini, saya dan majoriti rakyat yang tidak ada kepentingan dengan ISA terpaksa memikirkan juga selepas negara ini tidak ada ISA. Kami rakyat jelata ini memikirkan peluang yang lebih besar oleh puak-puak tertentu untuk menggugat ketenteraman rakyat termasuk saya sendiri. Kalau pengumuman ini dikatakan “rakyat diutamakan”, ini bukanlah mengutamakan kepentingan majoriti rakyat tetapi sejumlah kecil sahaja.

Saya akan lebih teruja kalau Perdana Menteri mengumumkan keprihatinan kerajaan mengawal kenaikan harga rumah terutama di Lembah Kelang yang sangat gila ketika ini. Saya juga menunggu kalau-kalau kadar cukai pendapatan dikurangkan. Isu ini adalah isu rakyat. Ia lebih dekat berbanding ISA yang tidak ada kesan secara langsung sama ada wujud atau tidak.

Malah saya dan rakyat yang lain juga tertunggu-tunggu apa tindakan kerajaan untuk mengekang kenaikan harga barang yang tidak seimbang dengan kenaikan pendapatan rakyat. Tetapi memikirkan penguatkuasa undang-undang yang ada sekarang sangat lembab, proses perbicaraan juga sangat lembab dan mengambil masa bertahun-tahun, apakah kita boleh yakin masalah puak yang membuat haru hara misalnya dapat diselesaikan dalam masa yang singkat? Rakyat terpaksa memikirkan juga perihal liberalnya kerajaan memansuhkan ISA.

Lihat sahaja bagaimana terhegeh-hegehnya pendakwaan dan perbicaraan kes Anwar Ibrahim. Kalau tidak didesak oleh rakyat, kes Anwar Ibrahim mungkin belum dimulakan lagi selepas berlaku pada 2008. Selepas ini semua kes mesti melalui pendakwaan di mahkamah. Bayangkan kes Anwar Ibrahim selama tiga tahun belum ada apa-apa keputusan lagi. Bagaimana kalau kes yang sepatutnya diletakkan bawah ISA kini dibicarakan di mahkamah?

Kita semua tidak tahu apa agenda sebenarnya pemansuhan ISA. Adakah untuk memancing undi pembangkang yang selama ini berjuang memansuhkan ISA? Saya sama sekali tidak fikir pembangkang begitu mudah berubah. Ini kerana perjuangan memansuhkan ISA adalah modal politik pembangkang semata-mata.

Malah kalau belum wujud ISA, mereka ini jugalah yang berjuang mendesak diwujudkan ISA. Tengoklah apa reaksi pembangkang apabila ISA dimansuhkan. Sedikitpun mereka tidak gembira padahal dulunya itulah yang mereka perjuangkan.

Dulu masa ada gerakan memansuhkan ISA, kalau tidak silap saya hampir semua menteri, timbalan menteri menentang usaha memansuhkan ISA. Kata mereka, ISA perlu dikekalkan dan berbagai-bagai hujah lagi selari dengan pendirian Perdana Menteri Najib Tun Razak. Gerakan ini pernah membuat perhimpunan haram di Kuala Lumpur untuk mendesak kerajaan memansuhkan ISA.

Saya tertanya-tanya di mana menteri-menteri yang dulunya menentang pemansuhan ISA kini sudah tidak bersuara. Kalau bersuara pun mereka tiba-tiba menyokong pula pemansuhan ISA. Ini menteri burung kakak tua atau apa? Kalau dulu macam-macam hujah dilontarkan untuk menentang usaha memansuhkan ISA, kini selepas dua tahun macam-macam hujah pula untuk menyokong pemansuhan ISA.

Saya sangat tidak faham dengan manusia yang tidak ada pendirian seperti ini. Saya sangat tidak hormat kepada mereka kerana yang dilontarkan berapi-api itu tidak lebih kata-kata pengampu supaya jangka hayat politik lebih panjang, bukan kerana rakyat. Kalau saya terjumpa manusia seperti ini, saya memilih untuk bercakap dengan tukang cuci atau pemotong rumput daripada bercakap dengan mereka.

No comments:

Post a Comment