Thursday, September 1, 2011

Bahasa Melayu dan merdeka

Saya pernah sampai ke negara Perancis, Itali dan Korea Selatan. Ketiga-tiga negara ini membuatkan kita menjadi bisu kerana mereka tidak menggunakan bahasa Inggeris. Walaupun tidak menggunakan bahasa Inggeris tetapi negara mereka maju dan sektor teknologi juga maju.

Kita lupakan dulu Perancis dan Itali. Kita tengok Korea Selatan yang menggunakan bahasa Korea sebagai bahasa kebangsaan. Walaupun tidak menggunakan bahasa Inggeris tetapi industri kereta Korea Selatan menakluki dunia. Barang-barang elektronik Korea Selatan sampai ke negara kita.

Kalau mengikut teori sesetengah pemimpin kita bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu, Korea Selatan sudah tentu menjadi negara yang paling miskin sebab penguasaan bahasa Inggerisnya lebih teruk berbanding kita. Semua buku-buku dalam bahasa Korea, papan tanda dalam bahasa Korea dan mereka bertutur dalam bahasa Korea.

Tetapi kenapa agaknya membuatkan Korea Selatan menjadi lebih maju berbanding kita? Bahasa Inggeris kita hebat-hebat belaka. Sekarang khabarnya beratus-ratus guru bahasa Inggeris diimport dari United Kingdom untuk mengajar “bahasa ilmu” kepada rakyat negara ini.

Sesetengah pihak di negara ini kata, kalau mahu menguasai teknologi, kena mahir bahasa Inggeris sebab semua buku tentang teknologi dalam bahasa Inggeris, teknologi pula mesti diajar dalam bahasa Inggeris. Adakah ini menunjukkan orang Korea Selatan secara sembunyi-sembunyi belajar bahasa Inggeris?

Adakah ini menunjukkan orang Korea Selatan lebih faham apa itu bahasa kebangsaan berbanding orang kita? Mungkin orang Korea Selatan belajar dan mahir bahasa Inggeris tetapi mereka memartabatkan bahasa Korea hingga orang luar anggap mereka tidak pandai berbahasa Inggeris.

Sempena 54 tahun negara ini merdeka, pemimpin kita masih tidak percaya bahawa bahasa Melayu juga membolehkan kita menjadi Korea Selatan yang berjaya sebagai negara industri dan menguasai teknologi tinggi? Adakah kita merdeka sebenarnya kalau kepala otak pemimpin masih berkarat dan percaya hanya bahasa Inggeris boleh memajukan negara ini?

Semalam pejuang bahasa Melayu terakhir, Hassan Ahmad telah pulang menemui Illahi. Hassan Ahmad seorang yang mahir bahasa Inggeris tetapi beliau percaya bahasa Melayu adalah bahasa ilmu yang boleh memajukan negara ini. Kalau orang kata mereka yang berjuang mengangkat bahasa Melayu kerana tidak mahir bahasa Inggeris, itu adalah bohong sama sekali.

Hassan Ahmad tidak perlu memperjuangkan bahasa Melayu kerana semasa hayatnya beliau berjaya duduk pada kedudukan tertinggi hingga bertaraf duta. Hassan Ahmad tidak perlu membaca buku-buku Melayu kerana dia mahir bahasa Inggeris dan boleh saja menimba ilmu dengan membaca buku bahasa Inggeris.

Maka kalangan pemimpin yang berjuang memartabatkan bahasa Inggeris tidak perlulah berpura-pura menganggap kepulangan Hassan Ahmad sebagai satu kehilangan kepada negara. Kepada pemimpin jenis ini Hassan Ahmad sebenarnya tidak bernilai apa-apa. Hassan Ahmad mungkin menjadi bernilai kalau beliau turut memperjuangkan bahasa Inggeris seperti yang pemimpin kita lakukan sekarang.

Besar sungguh makna kemerdekaan kita kerana kalangan peminpin tidak sedikit pun rasa malu bertutut bahasa Inggeris kepada orang tempatan. Kalau tidak percaya rajin-rajinlah menonton televisyen dan lihatlah sendiri cara pemimpin kita memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Lebih baik Chua Soi Lek dan Samy Vellu yang berusaha bertutur dalam bahasa Melayu berbanding pemimpin Melayu sendiri.

2 comments:

  1. Orang yang berdegar degar bercakap pasal Merdeka! Merdeka! Merdeka! sebenarnya adalah penipu besar!

    ReplyDelete
  2. mana lebih Melayu...UMNO atau PEKEMBAR?!

    ReplyDelete