Monday, December 12, 2011

Bersungguh-sungguhlah pilih calon yang bersih

Selepas Perdana Menteri Najib Razak berkata UMNO hanya akan memilih calon yang boleh menang sahaja dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13), maka sekarang ini di mana-mana orang bercakap tentang perkara ini. Daripada apa yang ditegaskan Najib, kriteria calon yang boleh menang ialah yang bersih, tidak dikaitkan dengan rasuah, penyelewengan dan politik wang semasa pemilihan jawatan dalam UMNO.

Kalau calon yang boleh menang sahaja mungkin tidak sukar untuk dicari. Tetapi apabila ada kriteria tertentu, agaknya daripada Ahli Parlimen dan Adun sekarang ini berapa orang sahaja yang tinggal sebagai “bersih”. Di peringkat menteri, timbalan menteri, setiausaha politik dan setiausaha parlimen pula, agaknya siapa sahaja yang tinggal?

Najib memberi isyarat awal kepada siapa yang tahu mereka tidak menepati kriteria itu supaya jangan melobi untuk dipilih jadi calon. Harap mereka yang berkenaan faham dan tidak meredah juga apabila mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Perhubungan UMNO di negeri-negeri.

Calon yang boleh menang juga adalah calon yang tidak kalah dalam PRU 12 yang lalu. Kalau dipilih juga, ini bukanlah calon yang boleh menang. Kalau boleh menang tentulah mereka tidak kalah dalam PRU 12.

Kita sama-sama lihat apakah Najib akan terus merestui calon-calon yang tidak menepati kriteria bersih dalam PRU 13. Adakah Najib akan menggugurkan mereka yang didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin kerana politik wang? Kalau mahu tahu seseorang calon itu bersih atau sebaliknya, tanyalah di peringkat akar umbi macam ketua cawangan misalnya. Mereka ini lebih tahu calon mana yang bersih dan boleh menang.

Saturday, December 10, 2011

Hedonisme dalam dunia hiburan

BIDANG hiburan yang tidak disokong dengan kemantapan seni dan falsafah keseniannya menjadi pemangkin menularnya fahaman hedonisme dalam kalangan masyarakat. Sebahagian besar pengamal hiburan di negara ini tidak dapat membezakan antara seni dan hedonisme. Mereka pun menganggap semua yang dilakukan dalam dunia hiburan itu sebagai seni, hakikatnya lebih menjurus kepada fahaman hedonisme.

Apa itu hedonisme? Secara umumnya hedonisme diambil dari bahasa Yunani, hedonismos yang bermaksud “kesenangan”. Hedonisme muncul pada sekitar tahun 433 sebelum masihi yang memperjuangkan fahaman bahawa matlamat hidup manusia adalah kesenangan dan hiburan.

Ini boleh dilihat daripada sekian banyak konsert hiburan terbuka khususnya di Kuala Lumpur dan persembahan rancangan hiburan di televisyen. Hampir semua mempromosi gaya hidup yang menjurus ke arah hiburan kosong. Boleh dilihat juga gaya dan reaksi penonton di depan pentas yang digambarkan terlalu asyik hingga seperti kena sawan. Sebahagian besar daripada rancangan hiburan di televisyen membawa kepada keruntuhan nilai peribadi remaja. Ini kerana kesimpulan daripada rancangan itu menjurus kepada mencari hiburan tetapi bukan hidup yang bermatlamat.

Hedonisme mempromosi gaya hidup yang melanggar tata susila budaya dan garis agama. Ia tidak ada kena mengena dengan seni tetapi dikelirukan bahawa yang menghiburkan itu semuanya seni. Ini adalah gejala neokolonialisme yang disasarkan kepada generasi muda yang rata-rata menjadi pengagum budaya popular. Kesannya cukup serius apabila perkara-perkara yang melampaui batas susila dan agama dianggap “biasa”.

Hedonisme memperkenal dan mempopularkan pergaulan bebas, seks luar nikah, tuntutan hiburan yang melampau dan banyak lagi. Semua ciri-ciri ini ditonjolkan sebagai satu gaya hidup. Dengan lesen kononnya begitulah “budaya” kehidupan orang seni, mereka ini sebenarnya menjadi perosak seni.

Beza antara hedonisme dan seni ialah seni menyuburkan pemikiran tinggi, hidup penuh dengan tata susila dan tidak melanggar batas agama. Tetapi hedonisme bertentangan dengan kehidupan berbudaya dan beragama.

Malangnya inilah yang menjadi ciri-ciri utama dalam bidang hiburan. Dalam seni tidak ada kelonggaran untuk menongkah batas budaya dan agama. Dalam hedonisme, pengarah filem boleh mewajarkan adegan ranjang semata-mata untuk menyampaikan saranan “kebaikan”.

Sebab itulah di negara kita pengarah yang gemar membuat adegan ranjang bukan sahaja tidak pernah ditegur malah dipuji kerana tinggi “seni“nya. Pelakon yang sanggup melakukan adegan itu pula disanjung kerana “keberkesanan” lakonannya. Tidak ada yang mempersoalkan pelakon atau pengarah kenapa mementingkan hedonisme dan tidak batas susila dan agama. Masyarakat seolah-olah telah menerima adegan ranjang (sebenarnya tidak perlu pun) dan menjadi begitu liberal hanya memperkatakan tentang lakonan (kononnya).

Lihatlah masyarakat tidak mempersoalkan kesanggupan Maya Karin melakonkan adegan ranjang dalam filem Ombak Rindu. Sebaliknya mereka memuji keberkesanan lakonannya. Apakah kalau tidak berani membuat babak ranjang lakonan Maya tidak hebat? Tetapi kerana fahaman hedonisme meresap dan liberal melekat di fikiran, masyarakat tidak nampak lagi “keluarbiasaan” Maya berlakon adegan ranjang. (Sila baca kritikan Ali Atan mengenai Ombak Rindu dalam Pancaindera Mingguan Malaysia 11 Dis. 2011).

Kerana itu dunia hiburan tempatan mesti dibentuk semula. Jangan sama sekali membiarkan istilah “seni” diperalatkan untuk memangkin hedonisme. Barat telah lama sedar hedonisme meruntuhkan peradaban manusia dan kini mereka kembali kepada kepada kehidupan berbudaya melalui penghayatan seni.

Di sebalik kisah gila-gila Lady Gaga, Barat mengungguli sastera, lukisan, teater dan muzik. Tetapi di sebalik gila-gila dunia hiburan kita, selainnya apa yang ada? Mujurlah TV AlHijrah memperkenalkan satu kod etika dalam hiburan. Tetapi peliknya banyak yang menganggap itu tidak masuk akal sebabnya akal mereka telah tepu dengan hedonisme.

Apa yang diharapkan TV AlHijrah tidak cair atau tewas dengan desakan dan gelombang liberalisme dunia penyiaran negara ini yang mempromosi hedonisme untuk mencari keuntungan. Malah diharapkan TV AlHijrah juga tidak tunduk kepada mana-mana pemimpin atau menteri yang mahu membuka ruang liberalisme di stesen ini. Ada sesetengah menteri kita sanggup melakukan perbuatan terkutuk ini hanya kerana politik mereka.

Thursday, December 8, 2011

Akibat terlalu tunduk kepada pembangkang

Kerajaan Barisan Nasional kelihatan sedang ditolak beransur-ansur apabila mengikut telunjuk pembangkang yang mendesak menuntut banyak perkara yang tidak munasabah. Tunduk bererti memberi kemenangan moral kepada pembangkang. Maka pembangkang pun boleh gunakan kejayaan ini sebagai kononnya “perjuangan” membela rakyat.

Tidak pernah berlaku “tolak ansur” yang sebegini hebat dalam kerajaan Barisan Nasional hingga kepada perkara yang melibatkan keselamatan rakyat. Dalam kata lain keselamatan rakyat menjadi pertaruhan untuk meraih undi kalangan pembangkang. Misalnya tidak pernah terlintas di fikiran kita kerajaan akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) . ISA tidak pernah mengacau rakyat, ISA hanya ”mengacau” orang yang buat kacau. Tetapi tahun lalu pembangkang mencetuskan gerakan anti ISA. Maka tertanyalah kita adakah pemansuhan ISA kerana desakan pembangkang?

Sebenarnya ISA tidak wajar dimansuhkan. Majoriti rakyat tidak ada kena mengena dengan ISA selagi ISA tidak dimansuhkan. Tetapi apabila dimansuhkan dan segala penyangak dan penyamun yang bahaya tidak takut lagi ISA, ini memang ada kena mengena secara langsung dengan rakyat. Masa Anwar Ibrahim dalam kerajaan pun tidak pernah mengusulkan pemansuhan ISA padahal dia pernah ditahan bawah ISA. Kenapa selepas keluar kerajaan dia mahu ISA dimansuhkan?

Pembangkang dapat markah apabila desakan mereka berjaya. Selain ISA, antara desakan yang terkandung dalam tuntutan perhimpuan haram 9 Julai lalu ialah menggunakan dakwat dalam pilihan raya. Pada mulanya kerajaan berkeras tidak akan menggunakan dakwat (sistem ketinggalan zaman hanya dibuat di negara dunia ketiga) dan rakyat gembira kerana kerajaan bertegas dalam isu ini.

Kerajaan mempromosikan sistem biometrik yang lebih canggih. Sistem ini juga menelan banyak belanja tetapi tidak mengapa kerana ia diyakini boleh menghalang permainan kotor dalam sistem pengundian. Bukan main lagi kerajaan mempromosikan biometrik tetapi akhirnya kalah kepada promosi pembangkang supaya menggunakan dakwat. Apa sudah jadi dengan kerajaan Barisan Nasional? Ini menunjukkan satu lagi kejayaan pembangkang sekaligus perhimpunan haram 9 Julai.

Apabila kerajaan terlalu tunduk kepada desakan ini bermakna untuk mendapat sesuatu rakyat mesti mendesak dan membelakangkan undang-undang. Kerajaan tidak boleh cakap banyak lagi apabila ternyata hasil perhimpunan haram dan salah di sisi undang-undang telah mendapat pengiktirafan kerajaan.

Rakyat yang menyokong Barisan Nasional bukan memerlukan pemimpin yang cakapnya berdegar-degar, tetapi akhirnya tunduk kepada desakan yang tidak munasabah pembangkang. Rakyat mahu pemimpin yang tegas. Kalau dakwat tidak boleh digunakan, pertahankan sampai bila-bila. Apabila kerajaan tunduk, ini bermakna kerajaan sendiri tidak yakin dengan sistem biometrik. Ini mengecewakan rakyat apabila kerajaan kalah dalam menyakinkan rakyat tentang sistem biometrik.

Percayalah selepas ini banyak lagi yang pembangkang tuntut dan mereka akan mendapat kejayaan selagi kerajaan tidak memperlihatkan pendirian tegas terhadap sesuatu tindakan. Kerajaan kata jangan buat perhimpunan haram, pembangkang buat juga dan mereka berjaya kerana tidak ada apa-apa tindakan oleh kerajaan. Kejayaan berganda apabila yang tuntut dipenuhi oleh kerajaan. Sampai bila desakan yang memberi keuntungan kepada pembangkang terus dipenuhi?



Tuesday, December 6, 2011

Shahrizat perlu letak jawatan

Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Shahrizat Jalil tidak perlu menunggu dia dipaksa meletak jawatan, sebaliknya meletak jawatan dengan segera kerana hujah penafiannya semasa Perhimpunan Agung UMNO 2011 yang lalu tidak meredakan skandal Pusat Fidlot Nasional. Suami Shahrizat adalah Pengerusi Eksekutif Pusat Fidlot Nasional yang mendapat dana RM250 juta daripada kerajaan.

Skandal Fidlot dan Shahrizat kini menjadi liabiliti kepada UMNO. Sama ada Shahrizat terlibat atau sebaliknya, dalam permainan politik bukanlah suatu yang penting. Tetapi skandal ini telah menyuburkan satu persepsi yang buruk apa lagi syarikat itu berkaitan dengan keluarga Shahrizat.

Untuk menyelamatkan UMNO khususnya di Lembah Pantai, Shahrizat tidak ada pilihan melainkan meletak jawatan dan tidak dipilih bertanding pada PRU 13 tidak lama lagi. Shahrizat pun memberikan rekod yang buruk pada PRU 12 apabila dia kalah di tangan ”budak hingusan” Nurul Izzah yang tidak ada pengaruh langsung di Lembah Pantai.

Memanglah bukan kuasa pembangkang yang menentukan sama ada Shahrizat boleh terus jadi menteri dan sebagainya. Tetapi kalangan rakyat skandal Fidlot ini mesti diselesaikan. Sementara pihak berkuasa meneruskan siasatan, Shahrizat mesti meletak jawatan.

Bekas Menteri Besar Selangor Muhammad Muhd Taib pun meletak jawatan sekalipun kes membawa wang tunai RM2 juta menang di mahkamah. Walaupun menang tetapi dia kalah moral dan menjadi liabiliti kepada UMNO dan kerajaan. Harap Shahrizat juga faham bahawa politik adalah persepsi. Kalangan rakyat mereka ada persepsi tertentu apabila suami Shahrizat jadi pengerusi eksekutif dan dapat pula dana RM250 juta.


Sunday, December 4, 2011

Siapa calon tak boleh menang?

Antara yang menarik ditimbulkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2011 baru-baru ini ialah calon yang boleh menang. Tetapi Presiden UMNO, Najib Razak menggunakan istilah “vinnable candidate”. Tidak apalah kerana yang penting kedua-dua istilah dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu membawa maksud pilih calon yang boleh membawa kemenangan kepada parti (UMNO) dalam Pilihan Raya Umum ke 13 tidak lama lagi.

Saya sangat tertarik dengan tumpuan yang akan diberikan kepada pemilihan calon yang bermutu. Sebelum tsunami menumbangkan lima negeri termasuk Kelantan yang sudah berakar tunjang ke tangan pembangkang, kriteria calon jarang diberi perhatian. Ini kerana ketika itu zaman kegemilangan UMNO. Hingga ada yang berkata, di beberapa negeri kalau letak tunggul kayu diberi selimut logo Barisan Nasional pun boleh menang.

Zon selesa sebelum 2008 ini membuatkan banyak calon tidak menepati kriteria dan tidak bermutu. Tetapi yang menjadi masalah apabila yang tidak bermutu ini menang dalam pilihan raya. Kita menerima hakikat, keselesaan melampau dulu yang membawa bala kepada UMNO hari ini. Kerana yakin boleh memang dengan mudah, UMNO meletak calon-calon yang kuat mengampu dan mengipas sama ada peringkat Adun atau Parlimen.

Tetapi kini apabila UMNO berada di garisan kritikal, perihal calon mula diberi perhatian. Kalau kita lihat, dalam PRU sebelum ini banyak yang tidak layak dipilih sebagai calon. Tetapi kerana kabel mereka kuat, akhirnya terpilih juga. Apabila menang mereka buat angkara, timbullah gejala rasuah yang kini menjadi “tanda niaga” UMNO.

Politik adalah persepsi. Kalau UMNO tidak mahu mengakui bahawa persepsi menjadi tunggak dalam politik, eloklah mereka yang beranggapan begitu bersara dari politik. Maka apabila naik nama calon yang mempunyai rekod tidak bersih tidak kiralah mengamal politik wang atau apa, mereka ini mesti dikeluarkan dengan segera. Kalau dipertahankan juga dan dipilih sebagai calon, akan timbil persepsi UMNO tidak membendung rasuah.

Calon-calon begini adalah kudis kepada parti. Sebab itu Dr. Mahathir mengambil pendekatan perubatan iaitu membuang kudis ini dari terus merebak. Lihatlah bagaimana bekas Menteri Besar Selangor terpaksa meletak jawatan, bekas Menteri Besar Kedah, Osman Arof juga meletak jawatan, bekas Menteri Besar Selangor Abu Hassan Omar juga meletak jawatan. Kalau Mahathir masih jadi Perdana Menteri, Khir Toyo pun akan melalui nasib yang sama.

Siapa calon yang tidak boleh menang? Mereka adalah calon yang kalah dalam PRU 12, yang dikaitkan dengan rasuah, yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana politik wang. Cukuplah UMNO tidak menghormati pilihan rakyat apabila melantik calon yang kalah ke jawatan tertinggi seperti menteri atau timbalan menteri. Memanglah itu hak Perdana Menteri untuk melantik mereka sebagai Senator kemudian diberi jawatan. Tetapi di sudut moralnya ini menafikan pilihan rakyat. Mereka kalah bermakna rakyat menolak mereka, kemudian dilantik pula jadi menteri. Ini demokrasi apa kejadahnya?

Apabila Najib bercakap mengenai tumpuan kepada calon yang boleh menang, bab ini tidak banyak yang beri komen. Sebabnya sebahagian besar memang berhasrat menjadi calon. Setakat ini hanya bekas Menteri Besar Terengganu, Idris Jusuh saja yang mengumumkan tidak bertanding pada PRU 13.

Maknanya yang lain memang hendak bertanding walaupun mereka tahu bukan calon yang boleh menang. Takkanlah Idris Jusuh seorang sahaja yang secara sukarela memberi laluan kepada calon lain? Ini adalah warna sebenar di sebalik gegak gempita perhimpunan kali ini.

Persoalannya sejauh manakah Najib akan mengotakan janjinya memilih calon yang boleh menang sahaja pada PRU 13? Semuanya di tangan Najib. Biarlah mengampu atau mengipas sehebat mana sekalipun, kalau Najib berpegang kepada yang dikatakan itu, calon yang dipilih adalah faktor kelayakan, bukan sebab-sebab lain. Apabila semua tidak bercakap mengenai memberi laluan kepada calon lain, ini tentunya memeningkan Najib. Semua ini kalau boleh tidak hendak lepas kerusi masing-masing.

Thursday, December 1, 2011

Datuk Bandar Kuala Lumpur.....

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Lebih 60 peratus kerosakan jalan yang banyak berlaku di bandar raya Kuala Lumpur dikenal pasti berpunca daripada kerja-kerja pengorekan oleh syarikat utiliti bagi tujuan pemasangan kabel bawah tanah.

Mendedahkan perkara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, kerja-kerja pengorekan tanpa penurapan yang baik boleh mengakibatkan jalan menjadi mendap, beralun dan berlubang.

Bagi mengelak keadaan itu terus berlaku, jelasnya, syarikat-syarikat utiliti berkenaan seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Telekom dan syarikat telekomunikasi lain disaran menggunakan teknologi Horizontal Directional Drilling (HDD) bagi tujuan pemasangan kabel tanpa mengorek jalan.

''Bagaimanapun penggunaan teknologi ini memakan kos tinggi sehingga tiga kali ganda daripada biasa. Hanya Syarikat Gas Malaysia Berhad yang mengaplikasikan teknologi ini bagi mengurangkan kerosakan jalan akibat kerja-kerja pengorekan yang dijalankan,'' katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Laporan Khas akhbar ini dua hari lalu mendedahkan masalah jalan rosak, berlubang dan tidak berkualiti di sekitar ibu kota terus berlaku tanpa ada kesudahan. Kerja penurapan jalan juga tidak ubah seperti kain perca apabila jalan ditampal tidak sempurna dan kelihatan daif.

Ahmad Fuad bagaimanapun kecewa dengan laporan terbabit apabila menafikan gambar-gambar jalan rosak yang disiarkan adalah bukan di Kuala Lumpur.

''Saya akui bahawa jalan-jalan di Kuala Lumpur banyak rosak dan perlu dibaiki. Tetapi saya tengok (melalui gambar yang disiarkan) ada di antara jalan dan tempat letak kereta bukan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

''Kalau tulis berita tidak betul adalah fitnah,'' tegasnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fuad berkata, kebanyakan kerja-kerja pengorekan dibuat tanpa pengetahuan dan pemberitahuan kerana ia dijalankan pada waktu malam.

Katanya, biarpun segala syarat dan garis panduan ditetapkan kepada pihak mereka, namun ia sekadar 'di atas kertas'.

Ini kerana, katanya, di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, kesalahan mengorek jalan tanpa kelulusan atau tidak menurap kembali jalan dengan baik hanya akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.

''Kita tidak boleh halang mereka untuk mengorek jalan bagi pemasangan kabel kerana kita tidak mahu dipersalahkan pula oleh orang ramai akibat tidak dapat bekalan air atau elektrik kerana DBKL tidak benarkan mengorek jalan.

''Sebab itu kita berharap sangat mereka dapat menggunakan teknologi HDD biarpun membuat bayaran deposit untuk kerja penurapan,'' katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fuad menjelaskan, antara punca lain yang turut menyumbang kepada kerosakan jalan adalah disebabkan tumpahan minyak diesel dan konkrit selain aktiviti pembangunan di sekitarnya.

''Sepanjang tahun ini sebanyak 37 jalan utama telah siap dibaik pulih dan diturap semula, 10 jalan utama dalam pelaksanaan dan dua jalan utama dalam proses pelantikan kontraktor,'' katanya. (PETIKAN UTUSAN MALAYSIA 1 DISEMBER 2011)

Komen saya:

Ini menunjukkan Datuk Bandar Kuala Lumpur tak secerdik kontraktor. Kontraktor tahu DBKL hanya kerja siang saja, mereka korek waktu malam. Mereka tahu Kuala Lumpur boleh Datuk Bandar yang tidur. Kalau begitu polis pun boleh salahkan penyamun atau perompak melakukan kerja merompak waktu malam, waktu orang tidur. Kalau dah tahu kontraktor buat kerja kotor waktu malam, pantaulah.

Takkan yang itu pun kena diajar? Pandai pula kata syarat hanya di atas kertas. Siapa yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang kalau bukan DBKL? Takkan nak lepas tangan saja? DBKL sangat aktif menyita segala macam gerai tepi jalan dengan menggunakan undang-undang. Kenapa tak menggunakan undang-undang untuk mengajar kontraktor? Adakah tuan punya gerai tak ada pengaruh dan kontraktor pula ada pengaruh? Kalau di Jepun Datuk Bandar macam ini dah letak jawatan kerana tak mampu menjalankan tanggungjawab waima hanya berdepan dengan kontraktor.


Friday, November 4, 2011

Seksualiti Merdeka: Jujurkah kita?

(Petikan Malaysian Insider)

KUALA LUMPUR, 4 Nov — Dewan Muslimat PAS mempersoalkan sama ada tindakan kerajaan yang hanya mengharamkan Seksualiti Merdeka semalam sedangkan ia sudah diadakan sejak 2008 hanya disebabkan ia membabitkan kehadiran Datuk S Ambiga, yang sepatutnya merasmikan program itu minggu depan.

Meskipun menyambut baik pengharaman tersebut, Ketua Penerangan Muslimat PAS Aiman Athirah Al Jundi berkata, polis hanya bertindak apabila rakyat bangkit membantah walaupun jelas program tersebut seolah-olah menghina kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Kata beliau, polis dan BN seolah-olah mengambil kesempatan untuk menunjukkan penetangan mereka kepada individu-individu tertentu. Polis mengumumkan pihaknya mengharamkan program itu berkuat kuasa semalam.

Ini kerana kata Aiman Athirah, Ambiga merupakan salah seorang penyokong program yang berlangsung sejak Selasa lalu.

“Kesempatan ini diambil untuk melegitimasikan penentangan mereka kepada individu atau pihak-pihak berkenaan dan bukannya tindakan tegas yang bertitik tolak daripada rasa tanggungjawab, kesedaran dan amanah kepada tugas serta kehidupan beragama masing-masing,” katanya dipetik Harakahdaily hari ini.

“(Tetapi) persoalannya, mengapa baru tahun ini pihak berkuasa menyedari adanya acara ini?

“Bolehkah kita simpulkan bahawa polis dan pihak-pihak berkuasa yang lain selama tiga tahun yang lepas gagal menjalankan tugas mereka?

Justeru kata beliau, “apakah sudah menjadi budaya Pentadbiran Umno-BN yang akan hanya bertindak bila rakyat kebanyakan mula menunjukkan bantahan atau lebih malang jika ia membabitkan individu atau pihak yang tidak seiringan dengan Umno BN?”

Menurut beliau, penguatkuasaan undang-undang dan hukuman bukan langkah terbaik menyelelesaikan sesuatu isu, namun harus dimulakan dengan langkah penerapan nilai-nilai murni dalam kehidupan masyarakat. Semua pihak khususnya pihak polis tidak harus bertindak seperti melepaskan batuk di tangga namun isu ini harus dilihat secara menyeluruh, katanya lagi.

Komen saya:

Dalam banyak perkara, Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO tidak ada strategi. Ini termasuklah kes Seksualiti Merdeka. Banyak tindakan UMNO pakai redah dan saya yakin mereka tidak ada jawapan kenapa sejak diadakan pada 2008 tidak ada tindakan atau UMNO buat bising seperti sekarang. Semua ini menunjukkan banyak yang terpekik terlolong mengenai isu Seksualiti Merdeka tidak ikhlas memperjuangkan kesucian Islam.

Wednesday, September 21, 2011

ISA jadi umpan PRU 13?

Saya sebenarnya tidak kisah pun sama ada ISA terusk dikekalkan atau dimansuhkan. Saya dan majoriti rakyat tidak ada hubungan dengan ISA. Kerana itu pengumuman pemansuhan ISA bukanlah untuk majoriti rakyat tetapi segelintir sahaja yang mempunyai kecenderungan membuat haru hara. Jadi, pengumuman pemansuhan ISA adalah hadiah kepada puak-puak ini supaya lebih bebas membuat haru hara pada masa depan.

Apabila sampai ke peringkat ini, saya dan majoriti rakyat yang tidak ada kepentingan dengan ISA terpaksa memikirkan juga selepas negara ini tidak ada ISA. Kami rakyat jelata ini memikirkan peluang yang lebih besar oleh puak-puak tertentu untuk menggugat ketenteraman rakyat termasuk saya sendiri. Kalau pengumuman ini dikatakan “rakyat diutamakan”, ini bukanlah mengutamakan kepentingan majoriti rakyat tetapi sejumlah kecil sahaja.

Saya akan lebih teruja kalau Perdana Menteri mengumumkan keprihatinan kerajaan mengawal kenaikan harga rumah terutama di Lembah Kelang yang sangat gila ketika ini. Saya juga menunggu kalau-kalau kadar cukai pendapatan dikurangkan. Isu ini adalah isu rakyat. Ia lebih dekat berbanding ISA yang tidak ada kesan secara langsung sama ada wujud atau tidak.

Malah saya dan rakyat yang lain juga tertunggu-tunggu apa tindakan kerajaan untuk mengekang kenaikan harga barang yang tidak seimbang dengan kenaikan pendapatan rakyat. Tetapi memikirkan penguatkuasa undang-undang yang ada sekarang sangat lembab, proses perbicaraan juga sangat lembab dan mengambil masa bertahun-tahun, apakah kita boleh yakin masalah puak yang membuat haru hara misalnya dapat diselesaikan dalam masa yang singkat? Rakyat terpaksa memikirkan juga perihal liberalnya kerajaan memansuhkan ISA.

Lihat sahaja bagaimana terhegeh-hegehnya pendakwaan dan perbicaraan kes Anwar Ibrahim. Kalau tidak didesak oleh rakyat, kes Anwar Ibrahim mungkin belum dimulakan lagi selepas berlaku pada 2008. Selepas ini semua kes mesti melalui pendakwaan di mahkamah. Bayangkan kes Anwar Ibrahim selama tiga tahun belum ada apa-apa keputusan lagi. Bagaimana kalau kes yang sepatutnya diletakkan bawah ISA kini dibicarakan di mahkamah?

Kita semua tidak tahu apa agenda sebenarnya pemansuhan ISA. Adakah untuk memancing undi pembangkang yang selama ini berjuang memansuhkan ISA? Saya sama sekali tidak fikir pembangkang begitu mudah berubah. Ini kerana perjuangan memansuhkan ISA adalah modal politik pembangkang semata-mata.

Malah kalau belum wujud ISA, mereka ini jugalah yang berjuang mendesak diwujudkan ISA. Tengoklah apa reaksi pembangkang apabila ISA dimansuhkan. Sedikitpun mereka tidak gembira padahal dulunya itulah yang mereka perjuangkan.

Dulu masa ada gerakan memansuhkan ISA, kalau tidak silap saya hampir semua menteri, timbalan menteri menentang usaha memansuhkan ISA. Kata mereka, ISA perlu dikekalkan dan berbagai-bagai hujah lagi selari dengan pendirian Perdana Menteri Najib Tun Razak. Gerakan ini pernah membuat perhimpunan haram di Kuala Lumpur untuk mendesak kerajaan memansuhkan ISA.

Saya tertanya-tanya di mana menteri-menteri yang dulunya menentang pemansuhan ISA kini sudah tidak bersuara. Kalau bersuara pun mereka tiba-tiba menyokong pula pemansuhan ISA. Ini menteri burung kakak tua atau apa? Kalau dulu macam-macam hujah dilontarkan untuk menentang usaha memansuhkan ISA, kini selepas dua tahun macam-macam hujah pula untuk menyokong pemansuhan ISA.

Saya sangat tidak faham dengan manusia yang tidak ada pendirian seperti ini. Saya sangat tidak hormat kepada mereka kerana yang dilontarkan berapi-api itu tidak lebih kata-kata pengampu supaya jangka hayat politik lebih panjang, bukan kerana rakyat. Kalau saya terjumpa manusia seperti ini, saya memilih untuk bercakap dengan tukang cuci atau pemotong rumput daripada bercakap dengan mereka.