Wednesday, December 22, 2010

Suatu pagi bersama wira

Antara pengalaman menarik menjadi wartawan bukanlah bertemu atau membuat wawancara dengan menteri atau Perdana Menteri. Tetapi pengalaman menarik bagi saya apabila berpeluang menyusuri “orang-orang kecil” yang terlepas pandang oleh menteri atau Perdana Menteri.
.
Mereka ini bukanlah orang berpangkat, bergelar tetapi berada di depan mereka membuatkan kita terasa terhutang kepadanya. Pada 30 Ogos 2007 di sebuah hotel di Chow Kit saya bertemu seorang daripada 13 bekas gerila Harimau Malaya (Force 136) yang masih hidup, Wan Nik Wan Ngah. Force 136 mempunyai 121 anggota. Ketika wawancara, hanya empat yang berupaya datang ke perbarisan kemerdekaan ke 50 tahun. Selebihnya uzur.
.
Wan Nik ketika wawancara itu berusia 83 tahun, menyertai Harimau Malaya pada tahun 1944 ketika berusia 19 tahun. Kehidupan yang sangat sengsara di Gerik akibat pengganas komunis membuatkan Wan Nik nekad menyertai pasukan gerila. Sekalipun beliau tidak mengalami kecederaan tetapi adiknya Wan Ahmad terkorban ditembak komunis ketika dalam pasukan Special Constable (SC) tahun 1950.
.
“Masa itu tak fikir lain, kalau umur panjang selamatlah, kalau sudah sampai ajal, siapa pun tidak dapat mengelak,” kata Wan Nik kepada saya tanpa rasa menyesal sedikit pun pada wajahnya. Budak 19 tahun yang semangatnya menyala dan berapi itu sudah sukar ditemui hari ini.. Saya rasa sangat kerdil di depan seorang wira yang mempertaruhkan nyawa demi tanah air ini. Hati saya berbisik, "Inilah budak 19 tahun yang dulu mengorbankan masa remaja demi tanah air."
.
Berikut adalah petikan wawancara yang disiarkan pada 2 September 2007 di Mingguan Malaysia.
.
.
Masa berjuang dalam gerila Harimau Malaya (Force 136) tahun 1944 dulu, adakah pak cik terbayang kita akan merdeka seperti hari ini?
.
WAN NIK: Masa itu tidak terbayang langsung, tidak tahu pun apa dia merdeka. Hidup pak cik dalam ketakutan sebab pengganas komunis banyak, Jepun pun ganas juga. Pak cik masuk Harimau Malaya sebab nak selamatkan negara ini daripada Jepun dan komunis. Itu saja. Masa itu nyawa tidak ada harga, kalau kena tembak matilah. Tapi pak cik dan kawan-kawan masa itu tidak fikir lagi tentang nyawa, yang kami tahu kampung kami mesti aman dan komunis dengan Jepun mesti kena lawan. Kalau kita sendiri tidak bangun melawan, nak harap siapa lagi? Masa itu pak cik hanya fikir negara ini negara pak cik dan biarlah kita lawan orang yang hendak ambil negara kita.
.
Boleh pak cik gambarkan kesusahan zaman Perang Dunia Kedua itu?
.
WAN NIK: Tidak boleh nak dibayangkan, memang perit. Hidup hanya untuk melawan musuh. Kesusahan zaman itu bukan saja pak cik yang rasa. Semua orang lain rasa juga. Tapi masa itu kami tidak pernah rasa kekurangan menjadi rakyat negara ini. Walaupun setiap hari dalam bahaya, hidup susah tetapi kami anggap negara ini adalah anugerah Tuhan. Sebab itu kena jaga betul-betul. Bila melihat kita merdeka sampai 50 tahun ini, pak cik sangat terharu dan gembira. Pak cik gembira kerana dianugerah Tuhan untuk melihat sendiri kemakmuran negara yang dulunya sangat susah.
.
Saya difahamkan masa pak cik masuk Harimau Malaya, umur pak cik baru 19 tahun. Apakah yang mendorong pak cik yang masih budak untuk masuk gerila?
.
WAN NIK: Memang betul umur pak cik 19 tahun. Tetapi masa itu umur 19 tahun bukanlah macam budak-budak sekarang yang tidak pernah mengalami kesusahan. Pak cik hidup dalam kesusahan dan seingat pak cik, kami pada masa itu tidak fikir lain selain melawan musuh. Rasa takut tidak ada langsung sekalipun adik pak cik mati ditembak komunis di Gerik. Tak tahulah mungkin keberanian pak cik masa itu keberanian melulu tapi kalau tidak berani siapa hendak melawan komunis? Masa itu bukan macam sekarang banyak pasukan tentera dan polis yang boleh menjaga keselamatan kita. Dulu kita kena jaga sendiri kampung halaman kita.
.
Boleh ceritakan rentetan pengalaman zaman pendudukan Jepun dan British dulu?
.
WAN NIK: Pak cik masuk Harimau Malaya pada 1 Disember 1944 hingga 4 Disember 1945. Selepas itu British bubarkan Harimau Malaya. Masa itu jadi Harimau Malaya tidak ada gaji. Pak cik dibayar RM395 selepas Harimau Malaya dibubar. Lepas itu balik kampung hingga 1948 masuk pula Special Constable (SC) untuk jaga kampung. Pak cik masuk SC pada 1 Ogos 1948 hingga 12 Ogos 1953.
.
Bagaimana perasaan pak cik masa adik menemui ajal di tangan komunis?
.
WAN NIK: Memanglah rasa sedih. Tapi zaman yang bahaya macam itu, kalau kita terus sedih pun tidak ada guna juga. Memang sedih sebab dia baru saja masuk SC terus kena tembak di kepala. Dah sampai ajal di situ. Bagi pak cik, benda inilah yang membuatkan pak cik lebih bersemangat untuk bertugas. Masa itu tak fikir lain, kalau umur panjang selamatlah, kalau sudah sampai ajal, siapa pun tidak dapat mengelak.
.
Kalau budak-budak sekarang umur 19 tahun tidak banyak yang fikir jauh macam pak cik dulu. Kenapa zaman sekarang anak-anak muda jadi begitu?
.
WAN NIK: Sebab mereka hidup dalam aman damai. Kalau sudah aman tidak perlulah fikir apa-apa. Lepas itu keluarga pula bukan macam mak ayah pak cik dulu yang hidup susah, kais pagi makan pagi. Kadang-kadang tidak makan. Sebab susah itulah kami fikir cara untuk hidup aman. Caranya kena melawan komunis. Budak-budak sekarang tidak ada apa yang nak difikirkan sangat, hidup mak ayah tanggung. Pak cik bukanlah mahu mereka hidup susah macam pak cik dulu. Tapi kita kena juga fikir tentang hidup kita.
.
Tetapi mereka juga perlu menghargai orang-orang yang menyumbang kepada kemerdekaan negara?
.
WAN NIK: Mereka kenalah menghargai kemerdekaan. Itu yang penting. Sebabnya, kita kena hargai benda (kemerdekaan) yang susah hendak dapat. Kena fikir macam mana susah payah Tunku dan pemimpin-pemimpin kita. Semua ini untuk generasi sekarang, bukan untuk generasi kami yang sudah tua. Untuk terus merdeka kenalah jadi orang yang baik-baik dan sanggup berkorban demi negara. Pak cik pun kalau diminta untuk berkorban kepada negara, pak cik masih sanggup. Biarlah kami dulu saja yang susah, orang sekarang jangan jadi macam kami. Derita zaman itu tidak boleh nak di gambarkan.
.
Pak cik di mana masa 31 Ogos 1957?
.
WAN NIK: Kalau tidak silap, masa itu pak cik dalam operasi di Tanjung Malim. Masa itu pak cik jadi Home Guard selepas berhenti jadi SC tahun 1953. Rasa gembira tidak dapat nak digambarkan. Bayangkan berapa tahun berperang baru merdeka. Segala penat lelah masuk Harimau Malaya, SC dan Home Guard hilang bila mendapat tahu kita sudah merdeka. Masa itu memanglah pak cik tidak faham sangat apa itu merdeka. Tapi dari cakap- cakap orang, British sudah serah negara ini kepada orang kita sendiri. Serah kepada Tunku Abdul Rahman. Tidak ada orang yang tidak gembira menyambut merdeka.
.
Siapa nama adik pak cik yang terbunuh itu?
.
WAN NIK: Wan Ahmad Wan Ngah. Dia masuk SC tahun 1950 jadi escort. Tempat dia kena tembak jauh 18 batu dari balai Gerik. Lepas dia terkorban, pak cik diminta ganti tempat dia.
.
Kalau saya minta pak cik bagi pesanan kepada generasi sekarang, apa yang pak cik hendak kata?
.
WAN NIK: Jagalah merdeka ini. Ini harta kita yang sangat mahal. Bukan mudah untuk kita mendapat kemerdekaan, banyak yang mati, cacat seumur hidup dan macam-macam lagi. Bila sudah dapat merdeka, kenalah jaga betul-betul. Kerja kami zaman perang dulu sudah selesai dan sekarang tugas orang-orang muda pula untuk buat supaya kita terus merdeka.
.
Ada sesetengah orang menganggap merdeka telah berlalu dan tanggungjawab generasi sekarang memajukan negara. Apa komen pak cik?
.
WAN NIK: Memang betullah anggapan begitu. Masing-masing ada tanggungjawab untuk kita lakukan kepada negara. Tapi kita kena ingat juga sekiranya negara ini tidak merdeka, kemajuan apa yang hendak dijalankan? Kalau tidak merdeka kita tidak ada kuasa. Macam zaman British dulu, hendak buat sesuatu mesti rujuk dengan British. Mahu tidak mahu kita terpaksa mengakui semua ini datang dari kemerdekaan. Biarlah kalau ada orang kata telah lapuk tapi di situlah mulanya kita menjadi tuan di negara sendiri.
.
Bagaimana kehidupan pak cik sekarang?
.
WAN NIK: Hidup macam orang tua sajalah. Nak kerja sudah tidak terdaya lagi. Tapi syukur sangatlah umur 83 masih sihat. Kalau orang tanya, pak cik kata, pak cik kaya anak cucu. Anak ada 12, cucu dekat 50 dan cicit 20. Daripada 121 orang Harimau Malaya dulu, yang masih ada 13 dan yang datang ke perbarisan merdeka (di Dataran Merdeka) hanya empat orang. Yang lain uzur. Jadi pak cik bersyukur sangat bila diberi kesihatan macam ini. Dapat datang ke sambutan ini pun satu pemberian Tuhan kepada pak cik. Mungkin tahun depan kami dah tak ada lagi sebab yang sihat sikit kami berempat ni saja. Pak cik bersyukur sangat sebab dapat menikmati kemerdekaan selama 50 tahun. Sebab itu sekali lagi pak cik nak pesan, orang-orang muda jagalah baik-baik kemerdekaan ini.
.
Tidak pernahkah terdetik di hati pak cik rasa menyesal berjuang tetapi tidak dapat ganjaran yang setimpal?
.
WAN NIK: Sikit pun tak pernah menyesal. Sebab niat asal dulu hendak berjuang untuk kampung halaman dan negara. Bukan kerana gaji atau apa. Ganjaran tidak pernah terlintas. Bagi pak cik, kita merdeka adalah hadiah yang sangat besar. Cukuplah. Kita hidup ini kalau buat kerja dengan ikhlas, kita tidak rasa ralat apa-apa lagi. Macam tahun ini, syukurlah masih ada yang ingat dan jemput ke sini. Pak cik tidak minta untuk dikenang, tetapi kalau ada yang mengenang, kami bersyukur dan terima kasihlah.
.
Adakah pak cik fikir pak cik melakukan pengorbanan yang besar kepada negara?
.
WAN NIK: Tidak pernah fikir begitu. Pengorbanan pak cik tidak sebesar mana kalau dibandingkan dengan negara beri kepada pak cik selepas merdeka. Negara kita aman macam sekarang ini tidak pernah pak cik mimpi masa zaman penjajah dulu. Bila semua ini kita capai, ia sangat bernilai. Kekacauan atau rasa takut macam zaman pak cik dulu sudah tidak ada lagi. Dulu komunis boleh bunuh kita bila-bila masa sebab tidak ada undang- undang.
.
Apakah erti kebahagiaan kepada pak cik?
.
WAN NIK: Diberikan tubuh badan yang sihat, ingatan yang terang dan dapat memberikan sumbangan yang terdaya kepada negara dan orang ramai. Kalau ada duit banyak sekalipun tetapi tidak sihat, ingatan kita hilang tidak guna juga. Pak cik bersyukur kerana ditakdirkan Tuhan untuk masuk berjuang. Pangkat dan duit tidak pernah fikir. Kalau fikir duit, pak cik tidak masuk Harimau Malaya atau SC.

1 comment:

  1. hari ini,kebanyakan remaja umur 19 tahun bukan sahaja tidak tahu sejarah negaranya dan hilang jatidiri, malah terjerumus ke dalam berbagai gejala sosial yang amat dahsyat dan mengerikan....tidak dapat nak bayangkan apa terjadi kepada negara 50 tahun lagi

    -pokde

    ReplyDelete