Monday, August 3, 2015

Rupa-rupanya RM2.6 bilion tu 'derma'

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  hari ini mengesahkan bahawa wang sebanyak RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Najib Razak adalah 'derma' dan bukan dari 1MDB. 

Saya fikir  Najib  tidak berlaku adil kepada beberapa agensi yang  menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk menyiasat laporan The Wall Street Journal yang mendakwa wang RM2.6 bilion dimasukkan dalam akuan peribadi Najib.

Sepatutnya awal-awal lagi  Najib mengaku bahawa laporan The Wall Street Journal itu betul iaitu  ada pihak yang memasukkan 'derma' RM2.6 bilion dalam akuan peribadinya.  Kalau berbuat begitu tidak ada  agensi yang membuang masa dan belanja untuk menyiasat 'derma' tersebut.

Pihak yang mendakwa The Wall Street Journal menyiarkan berita palsu terpaksa menerima kenyataan bahawa Najib yang tidak berterus terang tentang wang 'derma' tersebut.  Saya sejak  awal lagi sangat  ragu apabila dikatakan  The Wall Street Journal menyiarkan berita palsu.

Walaupun  laporan yang mengatakan  wang  setinggi gunung itu diambil dari 1MDB 'setakat ini'  tidak benar tetapi  kemasukan wang tersebut dalam akuan peribadi Najib adalah benar.  Nasib baik saya tidak turut serta mengutuk  The Wall Street Journal, kalau tidak hari ini saya malu besar kerana wang itu wujud.

Saya hairan kenapa SPRM kata mereka tidak menyiasat kemasukan wang sebanyak itu dalam akuan peribadi Najib,  SPRM hanya menyiasat adakah  wang itu dari  1MDB.  Lurus bendulnya  SPRM kita.  Tidak mengapalah,  lagi pun wang 'derma' tidak ada salahnya. 

Saya percaya rakyat juga gembira kerana Perdana Menteri mereka murah rezeki kerana mendapat 'derma' yang begitu banyak dari  phak yang entah mana-mana dan siapa-siapa.  Sepatutnya rezeki yang murah itu dikongsikan kegembiraannya dengan rakyat. Caranya menghebahkan kepada rakyat.

Jangan bimbang rakyat pun tidak menuntut wang 'derma' itu kerana sedar bukan untuk mereka.  Rakyat rasa sedikit berkecil hati kerana orang luar (The Wall Street Journal) yang tahu tentang  'derma' tersebut.  Siapa kata tidak ada manusia berhati mulia di dunia ini?  Tengok,  RM2.6 bilion didermakan dan tidak pula menghebahkan namanya.

Kalau impian rakyat untuk mengenali penderma itu,  saya fikir jangan harap sangatlah. Sebabnya apabila tangan kanan menderma,  tangan kiri tidak boleh tahu. Mungkin selepas ini  Menteri Agama, Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Agama,  Asyraf Wadji  Dusuki akan memberikan hadis-hadis yang  mengatakan bahawa penderma yang mulia tidak mahu dihebahkan 'perbuatan mulia'. 

Bukan seperti sesetengah pihak bagi derma hulur cek  saiz meja, ambil gambar tengok kamera pula.  Setidak-tidaknya penderma kepada Najib berhati mulia kerana tidak menonjolkan diri.



Kenapa dibangkitkan kewajaran dana politik?

KEMAS KINI

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak adalah sumbangan penderma.

Ia, kata suruhanjaya itu lagi, bukan berpunca daripada dana syarikat pelaburan negara 1MDB.

“Laporan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion telah dirujuk dan dimaklumkan kepada peguam negara,” kata SPRM.

“Hasil siasatan mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sumbangan penderma, dan bukannya dari dana 1MDB,” kata SPRM.

Dalam kenyataannya hari ini, SPRM juga mengingatkan bahawa badan itu hanya menumpukan siasatan terhadap dakwaan kemasukan dana ke akaun Najib dan  SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

(Sumber: Malaysiakini)




POSTING ASAL

Kenapa selepas  Timbalan Perdana Menteri yang tersingkir, Muhyiddin Yassin mendedahkan yang Perdana Menteri, Najib Razak mengakui wang AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang kontroversi itu dimasukkan dalam akuan peribadinya,  juak-juak UMNO membangkitkan tentang 'kewajaran'  dana politik? 

Adakah kerja juak-juak UMNO ini (saya bukan anti UMNO tetapi juak-juak pengampu)  untuk membina persepsi rakyat bahawa ada kewajaran untuk UMNO menerima dana politik berbilion ringgit dari pihak yang tidak dinyatakan dari luar negara?  Dalam lain perkataan,  wang RM2.6 juta itu memang wujud dalam akaun Najib.

Sebenarnya dana politik  kepada parti politik bukan perkara baharu.  Seperti kata Pemikir Jasa, Tun Faisal Tun Aziz,  kita boleh sahaja menerima wang yang dimasukkan dalam akuan peribadi kita.  Dalam konteks ini Tun Faisal mempertahankan tindakan Najib  membenarkan  wang itu dimasukkan dalam akaun peribadinya.

Bagaimanapun yang bukan perkara baharu ialah  dana politik dimasukkan dalam akuan peribadi individu yang boleh membuat keputusan dalam banyak perkara di negara ini.  Kalau dimasukkan dalam akuan juak-juak UMNO,  saya fikir tidak menjadi persoalan  yang besar. Ini kerana sejauh manakah kuasa juak-juak berkenaan dalam membuat keputusan hal negara.

Rakyat  marhaen jangan termakan dengan perang persepsi yang dilancarkan untuk mendapat sokongan dalam  isu dana politik.  Katakan  ya kepada dana politik dalam negara yang diberikan kepada parti politik. Tetapi katakan tidak kepada dana politik luar negara atau dalam negara kepada individu yang boleh membuat keputusan.

Saya tidak tahu sama ada wang RM2.6 bilin  itu  dimasukkan dalam akaun  Najib. Tetapi daripada hujah-hujah mempertahankan dana politik dan kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said  bahawa RM2.6 bilion bukan isu besar  telah mengiyakan perkara tersebut.

Saya tidak cemburu kalau ada manusia pemurah yang memberikan  RM2.6 bilion kepada orang lain dan bukan kepada saya.  Tetapi persoalan  yang bermain di kepala saya siapakah  yang  pemurah itu?   Kalau UMNO menganggap  dana politik suatu yang wajar,  dedahkan  daripada siapa dana itu.

Nasib negara kita yang satu ini  di tangan  rakyat semua.  Bukan di tangan pemimpin yang datang dan pergi. Atau yang datang tetapi tidak mahu pergi.  Rakyat termasuk yang marhaen bertanggungjawab menyelamatkan negara ini.  Jangan percaya dengan  kokokan  sesetengah pihak kononnya  berkerja untuk rakyat. 

Jadi,  apabila  nasib negara ini di tangan kita semua warga yang marhaen ini,  kita kenalah mengambil tahu dan berfikir lebih panjang  supaya tidak diperdayakan hidup-hidup.  Kita kena  menggerakkan kepala dan otak kita memikirkan siapakah yang memberi dana  sebanyak itu dan kenapa?  Jangan merasa takut untuk mempersoalkan sesuatu yang kita sangsi kerana tugas  pemimpin  adalah  memberikan penjelasan.

Kalau mereka tidak boleh memberikan penjelasan, misalnya  siapakah yang memberi dana sebanyak itu,  kita jangan mempercayai kata-kata mereka kecuali  dibuktikan benar.  Saya fikir  semua rakyat  wajar bimbang sekiranya  dana itu datang daripada pihak yang mempunyai agenda untuk menghancurkan  negara ini dan Islam seluruhnya.

Rakyat tidak bersalah kerana mereka bukan menuduh tetapi  mempersoalkan.  Sekarang ini kita tidak boleh mengharapkan lagi anggota Kabinet (Menteri dan Timbalan Menteri) bercakap bagi pihak rakyat kerana mereka sudah tidak boleh bercakap perkara yang terkeluar dari skrip.  Buktinya Muhyiddin yang bercakap di luar skrip,  hukumannya lihatlah apa yang berlaku dan akan berlaku  kepada beliau.


Pesan saya,  jangan membiarkan  ada pihak yang cuba memperbodohkan  rakyat dengan  fakta itu dan ini.  Pemikiran  rakyat kena dikeluarkan dari  terkepung dalam kotak dan  taksub kepada individu atau parti.  Mereka telah membina ketaksuban ini apabila membesar-besarkan  sokongan kepada pihak tertentu.  Saya tidak mahu negara saya dihancurkan kerana memperjuangkan  secara buta, tuli, pekak dan binggong  terhadap individu tertentu. Anda bagaimana?

Komen saya dalam Respons 10 Minit di RTM 1

Petang ini  (3 Ogos) pukul 7.05 malam  RTM menerusi TV1 dijadualkan menyiarkan temubual saya dalam rancangan Respons 10 Minit.  Inilah yang diberitahu oleh penerbit kepada saya bagaimanapun penyiarannya terletak kepada kelulusan pihak yang lebih tinggi sama ada sesuai disiarkan atau sebaliknya.

Rakaman dibuat Jumaat lalu pukul 3.30 petang di Wisma TV Angkasapuri.  Walaupun  rancangan ini hanya 10 minit tetapi saya mendapat kepuasan kerana dapat bercakap tentang apa yang hendak saya cakap mengenai suasana politik sekarang.  Bukannya saya bercakap bagi mengambil hati UMNO atau mengampu UMNO.   Saya sama sekali akan menolak kalau diminta bercakap bukan dari hati saya kerana tidak perlulah saya menambah jumlah pengampu yang sudah banyak di luar sana.

Antara  soalan yang diajukan kepada saya ialah sejauh manakah keyakinan rakyat dapat dipulihkan untuk menghadapi PRU 14?

Saya berkata,  isunya daripada banyak kejadian pelik dalam UMNO bukanah untuk menyakinkan keyakinan rakyat tetapi keyakinan ahi UMNO sendiri yang sekarang sudah berpecah. Pepecahan ini yang sepatutnya diatasi oleh UMNO bukan sibuk untuk mengembalikan keyakinan rakyat kerana tidak semua rakyat menjadi ahli UMNO.

Ditanya juga tentang media sosial kononnya menyebarkan maklumat  yang tidak benar sekarang ini.   Saya berkata,  tidak semua media sosial menyebarkan maklumat yang tidak benar. Ada yang benar.   Saya menyarankan supaya semua orang  jangan  terperangkap dengan satu aliran media sahaja.

Akhir sekali ditanya pandangan saya mengenai Kabinet Najib 2015 yang dikatakan sebagai Kabinet matang.  Saya segera mencelah yang saya tidak menganggap  itu Kabinet matang malah terlalu awal untuk memberikan tahap itu kepada Kabinet yang baru sesuai dengan taugeh.  Malah kata sepakat yang dirumuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu  untuk memberi laluan kepada pemimpin muda juga tidak diaksanakan.

Lihatlah beberapa Menteri atau Timbalan Menteri yang dilantik,  saya fikir banyak yang setuju dengan saya bahawa mereka ini  sudah tidak berapa muda. Malah ada yang dikitar semula tetapi  kualiti kitar semula tentulah tidak akan menjadi lebih baik daripada asalnya.



Sunday, August 2, 2015

Apabila Asyraf Wadji bela Azalina......

Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Asyraf  Wadji  Dusuki  telah melabelkan  media arus perdana memutar belit kenyataan  Menteri Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said  mengenai Lembaga Penapis Filem (LPF). 

Sejak awal lagi saya tidak setuju ulama atau orang agama masuk dalam gelanggang politik. Saya bimbangkan  mereka akan larut dalam politik seperti yang berlaku kepada ulama muda ini.  Tidak salah untuk membela Azalina kalau dia benar-benar teraniaya.

Tetapi kenyataan Azalina yang berbaur menghina  Islam mengenai adegan berpelukan dalam filem disiarkan dalam banyak media arus perdana dan pada mulanya bukan  dalam media sosial.  Saya membaca kenyataan  bangang itu dalam Mstar  online kemudian dalam beberapa akhbar lain.

Asyraf kena tanya dulu Azalina betul-betul adakah dia menuduh media arus perdana  bersepakat memutar belit kenyataannya.  Saya fikir wartawan hiburan  yang membuat liputan Azalina di Restoran Rebung di Bangsar itu bukan orang politik yang hendak menjatuhkan Azalina.

Saya sangat kecewa dengan kenyataan  Asyraf  menerusi FB yang memberikan gambaran salah sama sekali terhadap wartawan media arus perdana.  Media sosial hanya memetik dari media arus perdana.  Saya tidak fikir  dia  akan bersekongkol dengan Azalina yang memberikan liabiliti sebagai Menteri Islam dan Melayu dalam Kabinet Najib menerusi kecaman dia kepada LPF.

Saya tidak menyokong LPF tetapi saya menyokong  penambahbaikan  supaya tidak ada adegan yang mencolok mata untuk menggambarkan kemesraan suami isteri dalam filem atau drama.  Tetapi menurut laporan  akhbar, Azalina berkata:

"Isu ini dah jadi agak merepek kerana sesebuah drama atau filem merupakan industri kreatif dan apa yang dipaparkan di televisyen adalah sebuah lakonan.

"Kalau nak cakap babak-babak itu (berpelukan) boleh mengundang perlakuan tidak senonoh, rasanya tidak perlu medium televisyen, (kerana) di internet, hanya di hujung jari saja sudah boleh mempengaruhi masyarakat.

"Kita tak boleh berfikiran sempit. Kalau semua tak boleh, takkan nak bercakap dengan bantal?" katanya kepada mStar Online.

Barangkali inilah penyakit utama orang politik,  semasa bercakap berkobar-kobar tidak ingat dunia. Apabila menjadi kontroversi media akan dijadikan kambing hitam kononnya memutar belit dan bla  bla bla.  Malah penyakit orang politik juga untuk menonjolkan diri sebagai hulubalang kepada tuan dengan mempertahankan orang yang dilantik tuan.